Dewan Rakyat: APMM Selamatkan 1,580 Nyawa Dan RM164 Juta Aset


KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menyelamatkan 1,580 nyawa serta aset bernilai kira-kira RM164 juta aset sejak tiga tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata individu dan harta-harta berkenaan diselamatkan APMM dalam operasi mencari dan menyelamat."Dalam operasi dari tahun 2006 hingga 2009, APMM berjaya menyelamatkan 1,580 nyawa, sama ada yang dilaporkan hilang di laut, lemas, kemalangan, kebakaran kapal dan sebagainya. Nilai kapal, bot dan harta yang diselamatkan ditaksirkan kira-kira RM164 juta," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) berhubung kejayaan yang dicapai APMM dalam menjaga perairan negara.Beliau berkata dari segi penguatkuasaan, APMM menangani 2,534 kes termasuk menahan 175 pendatang asing tanpa izin, 181 pelbagai kesalahan penyeludupan, 344 membabitkan pelbagai kesalahan nelayan asing dan 1,821 kesalahan lesen, permit serta dokumen.Selain itu, APMM juga mengendalikan 25,851 pemeriksaan vessel di laut.Ahmad berkata penguatkuasaan undang-undang negara dalam Zon Maritim Malaysia sebelum ini diuruskan secara berasingan oleh 11 jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pasukan Gerakan Marin-PDRM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melibatkan 5,300 anggota serta 486 kapal dan bot.Katanya agensi-agensi berkenaan mengambil langkah bersendirian untuk mengembangkan organisasi masing-masing dan ia mengakibatkan berlaku pertindihan fungsi, bidang kuasa, kawasan operasi dan persaingan perolehan aset.Beliau berkata kerajaan memutuskan bahawa negara perlu mengubah pendekatan penguatkuasaan maritim secara berasingan, kepada konsep agensi tunggal bagi menguatkuasakan semua undang-undang persekutuan di laut dengan penubuhan APMM."Penubuhan ini dibuat melalui konsep penggabungan aset-aset Pasukan Gerakan Marin, TLDM, Jabatan Kastam Malaysia, Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan."Keputusan yang diambil kerajaan ini juga merupakan trend di kebanyakan negara berpantai yang lebih cenderung ke arah sebuah agensi yang khusus yang lebih dikenali sebagai 'coast guard'," katanya.Ahmad berkata APMM sedang mengambil langkah yang sesuai untuk mencapai matlamat agensi tunggal penguatkuasaan maritim menjelang Ogos 2011.Bagaimanapun menurutnya fungsi dan kuasa yang berkaitan dengan penggubalan dasar, kuasa kawal selia pelesenan, penyelidikan pembangunan, pemuliharaan sumber dan tugas-tugas lain dikekalkan kepada agensi maritim sedia ada."Bagi tujuan itu APMM akan memberi perkhidmatan sokongan di zon-zon maritim kepada agensi lain yang memerlukan," katanya.Beliau berkata bagi mengelakkan pertindihan kawasan tanggungjawab, kerajaan memutuskan APMM meliputi zon-zon maritim negara bermula dari Tikas Air Surut sehingga luar dari Zon Ekonomi Eksklusif di laut luas dan pelantar benua."Tugas-tugas penguatkuasaan dan mencari serta menyelamat oleh agensi-agensi lain adalah terhad dan dibataskan kepada kawasan-kawasan di belakang garis Tikas Air Surut sahaja," katanya lagi.Menjawab soalan lain Ahmad berkata dalam Rancangan Malaysia ke-10, Sandakan, Tawau dan Sepanggar akan memiliki Pejabat Daerah Maritim dan bangunan yang baru, manakala Lahad Datu akan memiliki satu pangkalan baru.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:34 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for Dewan Rakyat: APMM Selamatkan 1,580 Nyawa Dan RM164 Juta Aset

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]