Rundingan Umno, Pas dialu-alukan

KUALA LUMPUR: Tindakan Pas menetapkan syarat supaya semua anggota Pakatan Rakyat dibawa dalam rundingan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan membuktikan bahawa parti itu terpaksa tunduk dengan desakan daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata tindakan itu juga menunjukkan Pas sebenarnya tidak ikhlas dan mula tunduk kepada tekanan DAP dan PKR yang bimbang parti itu akan keluar daripada Pakatan Rakyat jika setuju membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno. Katanya, Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan keikhlasan apabila percaya kepada kejujuran kepemimpinan Pas yang mengemukakan idea pembentukan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, keikhlasan itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dengan melahirkan kepercayaannya bahawa Pas ikhlas untuk membincangkan perkara itu yang dicetuskan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. “Umno berasa ada kejujuran daripada Presiden Pas (Abdul Hadi) dan Timbalan Presiden Pas (Nasharuddin Mat Isa) untuk berbincang mengenai perpaduan, sama ada kerajaan perpaduan, dasar perpaduan atau persefahaman perpaduan dengan Umno dan BN. “Alangkah mulia hasrat itu yang disambut Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dengan sikap terbuka dan tentunya kita juga ingin tahu perincian lebih lanjut dari Pas.
“Umno sudah menyambut dengan pintu terbuka untuk berbincang dengan Pas mengenai perkara itu dan mereka tidak perlu membabitkan DAP dan PKR yang sekadar menumpang pengaruh Pas dalam pakatan pembangkang,” katanya di sini, semalam. Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengenai kesediaan Pas berbincang dengan Umno dan BN mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan dengan syarat rakan Pakatan iaitu DAP dan PKR dibawa bersama menyertai rundingan itu. Sehubungan itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, jika ada ikhtiar dan iltizam yang baik untuk manfaat rakyat terbanyak, semua pihak wajar memberi sokongan dan mengalu-alukan supaya apa saja perbincangan yang ada kaitan dengan perpaduan dapat menjadi kenyataan antara Umno dan Pas dalam masa terdekat. Katanya, sebenarnya orang Melayu juga sudah lama mengimpikan dua parti terbesar Melayu itu dapat duduk bersama berbincang mengenai perpaduan ummah.
Beliau berkata, jika hasrat itu boleh dijadikan satu kenyataan, ia juga akan memberi kebaikan untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini sesuai dengan gagasan 1Malaysia bertemakan Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan. “Perpaduan sememangnya menjadi tuntutan seluruh rakyat, sebab itu Umno dapat membentuk satu ikatan parti yang kukuh dan kuat menerusi kerjasama dalam BN. “Jika Pas berdepan dengan masalah dalaman kesan daripada beberapa pemimpinnya mencetuskan idea kerajaan perpaduan, ia hanyalah satu cabaran kecil dan sementara saja yang boleh diselesaikan. “Yang pasti tiada jalan mudah mencapai sesuatu hasrat yang mulia ini dan mudah-mudahan Allah memberkati apa saja usaha untuk kebaikan bersama dan seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:41 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Rundingan Umno, Pas dialu-alukan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]