BN sedia hadapi taktik kotor

KOTA BHARU 2 Julai - Barisan Nasional (BN) bersedia berhadapan dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang dijangka menggunakan taktik kotor pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.
Ini berdasarkan pengalaman lepas BN berhadapan dengan golongan itu yang memilih taktik sedemikan apabila terdesak meraih sokongan pengundi.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, taktik berkenaan sudah kelihatan apabila calon BN untuk pilihan raya itu, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diserang secara peribadi baru-baru ini kononnya beliau terlibat dalam salah laku.
''Berdasarkan kepada pengalaman lepas, setiap kali menjelang, pilihan raya akan ada pihak-pihak tertentu yang terdesak melakukan serangan peribadi.
''Selepas ini kita akan melihat macam-macam gambar super impose akan ditabur untuk mengelirukan rakyat,'' ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau meminta pengundi di Manek Urai supaya turut bersedia menghadapi permainan politik kotor ini.
Ahmad sejak seminggu lalu mensasarkan untuk turun padang dan berkampung di sembilan peti undi kawasan Manek Urai.
Beliau telah selesai melawat tujuh daripada peti undi berkenaan dengan bermalam di rumah orang kampung, terlibat dalam aktiviti gotong-royong serta minum dengan pengundi di warung.
''Saya akan meneruskan agenda ini sehingga pilihan raya kecil selesai untuk mendekati rakyat dan mendengar masalah serta keluh-kesah mereka terhadap pelbagai isu dan memberitahu mereka BN sedia untuk membantu.
''Saya tidak kisah jika ada yang memandang serong apa yang saya buat kerana niat saya hanya satu iaitu mendampingi rakyat di kawasan terbabit," ujarnya.
Mengenai dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fattah Harun kononnya penduduk di kawasan tersebut tidak memerlukan calon berpendidikan tinggi, Ahmad menyifatkannya sebagai memperlekeh cara pemikiran penduduk di Manek Urai.
''Ia hanya helah untuk mengalih perhatian rakyat agar isu pendidikan tidak ditimbulkan. Cara ini seolah-olah memperlekeh mentaliti penduduk Manek Urai yang selama ini bertungkus-lumus menyekolahkan anak-anak sehingga ke institusi pengajian tinggi.
''Janganlah bersikap prejudis dengan calon BN yang berkelulusan tinggi hanya kerana Pas telah memilih pemborong ikan sebagai calon," ujarnya.
Mohd. Fauzi Abdullah, 50, yang juga Bendahari Pas Kuala Krai diumumkan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil itu berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:33 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for BN sedia hadapi taktik kotor

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]