Ambil ingatan PM jika tidak mahu ditolak

PONTIAN 17 Okt. - Setiap pemimpin UMNO di semua peringkat perlu mengambil peringatan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak jika tidak mahu ditolak rakyat dan ahli-ahli parti pada masa depan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, ingatan Najib adalah supaya pemimpin parti terus mendekati dan mendampingi rakyat bagi melonjakkan kembali sokongan orang ramai kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, rakyat kini tahu menilai dan boleh menentukan pemimpin mana yang disukai melalui sikap dan tingkah laku yang dilihat pada setiap hari.
"Jika kita masih sukar untuk bangkit dan mengubah sikap, kita bimbang rakyat akan menolak UMNO dan akhirnya akan merugikan parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Sebelum perkara itu terjadi, mereka (pemimpin UMNO) perlu sedar akan tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan tanpa memberi pelbagai banyak alasan," katanya.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup nelayan secara tunai di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, di sini hari ini.
Seramai 484 nelayan di daerah ini yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pontian masing-masing menerima RM200 daripada Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Pemberian wang tunai itu melibatkan peruntukan RM98,800 yang dikelolakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Hadir sama Pengarah LKIM negeri, Mohd. Norbi Abu Hassan; Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Jahis Othman dan Pengerusi PNK Kawasan Pontian, Pungot Selamat.
Semalam, Najib dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO meminta para perwakilan dari seluruh negara bangkit menjadi parti yang mendekati rakyat dan berkhidmat kepada mereka.
Najib juga meminta agar pemimpin serta perwakilan parti berkerja kuat serta memastikan UMNO menjadi parti yang kuat dan bingkas bangun untuk memperkasakan UMNO di tempat masing-masing.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, Najib telah memberi isyarat betapa perlunya ahli-ahli parti berubah sekali gus menjadikan UMNO sebagai juara pembela rakyat.
"Menjadi juara kepada rakyat bukan saja kepada ahli-ahli UMNO dan orang Melayu tetapi kepada segenap lapisan masyarakat sejajar dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:53 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ambil ingatan PM jika tidak mahu ditolak

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]