Rakyat Harus Terima Perbezaan Di Kalangan Masyarakat - Musa Aman
1:01 AM
KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia harus menerima sebarang bentuk perbezaan yang wujud dalam masyarakat negara ini dan pada masa sama mengukuhkan apa jua persamaan sebagai asas membina negara bangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.Katanya ciri-ciri kenegaraan ini perlu dipertahankan agar negara terus aman dan makmur sepanjang masa."Inilah yang perlu kita akui. Walaupun kita bersifat pelbagai, kita masih ada persamaan terhadap nilai-nilai yang kita kongsi bersama," katanya dalam ucapan perasmian bengkel Gagasan 1Malaysia di sini, Ahad.Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun.Musa berkata Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran yang mungkin menggugat perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini dan jika tidak berhati-hati "elemen perbezaan masyarakat itu boleh menjadi umpama api dalam sekam"."Kita perlu belajar daripada sejarah, malah ada ahli falsafah menyatakan jika kita tidak belajar daripada sejarah, kita akan disumpah mengulanginya. Inilah yang berlaku di sesetengah negara yang bersengketa pada hari ini," kata Musa.Katanya Malaysia menjadi model negara berbilang kaum yang berjaya dan status ini perlu dipertahankan khususnya ketika berdepan dengan cabaran yang berpunca daripada ideologi politik kepartian berbeza.Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata bengkel anjuran Biro Tata Negara bertujuan memupuk semangat cintakan negara.Sabah merupakan negeri pertama menganjurkan bengkel itu dan ia dipilih kerana negeri ini contoh terbaik kepelbagaian kaum, dengan terdapatnya kira-kira 35 etnik.Bengkel itu dihadiri kira-kira 300 peserta terdiri daripada para pemimpin negeri, pegawai dan penjawat awam negeri Sabah.-- BERNAMA
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 1:01 AM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0