Analisis: Isu kursus Biro Tata Negara agenda DAP

ISU Biro Tata Negara (BN) kembali hangat diperkatakan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan kerajaan mahu merombak modul kursus BTN supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kenyataan menteri berkenaan dilihat seolah-olah kerajaan akur dengan kecaman ramai terhadap kursus BTN selepas kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang bertindak 'mengharamkan' kursus itu untuk pelajar dan kakitangan awam di negeri masing-masing. Kelantan juga menyatakan minat sama untuk mengharamkannya. Bagaimanapun, sesetengah pihak percaya Nazri sebenarnya 'tersasar' ketika memberikan kenyataan, sebaliknya Kabinet hanya bersetuju untuk membuat penambahbaikan, bukan rombakan kerana kursus berkenaan relevan dan sejak sekian lama ia berjaya menanamkan semangat kenegaraan kepada mereka yang mengikutinya.
Perkara pokok dalam isu ini ialah mengenai pengharaman kursus itu oleh Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang melabelkan ia sebagai sesi 'brainwash' (membasuh otak) yang sengaja diadakan kerajaan Barisan Nasional (BN) tanpa memberi sebarang kebaikan. Namun, isu yang hangat dibincangkan bukan mengenai pengharaman itu, sebaliknya bertumpu kepada modul kursus yang dikatakan mengamalkan sikap perkauman. Bagi pembangkang, apabila kerajaan mahu merombak modul kursus BTN berkenaan ia adalah satu kemenangan 'mimpi dalam sedar'. Jelas sekali pada pembangkang, wayang yang mereka cuba ketengahkan sudah berjaya untuk 'memainkan' kerajaan dan pada masa sama cuba menguji rakan seangkatan dalam pakatan mereka sendiri.
Jelas, sebuah negeri sekutu Selangor dan Pulau Pinang, iaitu Kedah tidak kedengaran mahu mengikut jejak mengharamkan kursus berkenaan, walaupun mengeluarkan kenyataan mahu menimbangkan pengharaman itu. Ramai percaya kenyataan Kedah dan Kelantan lebih bersifat mahu menjaga hati rakan sekutu serta menunjukkan kepada umum bahawa mereka sealiran dengan rakan dalam pakatan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam portfolio BTN, Datuk Ahmad Maslan, berkata tindakan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan adalah kekhuatiran politik sempit semata-mata. "Adalah malang tindakan seperti itu merugikan sebahagian kakitangan kerajaan, agensi negeri berkaitan kerana tidak diberikan peluang untuk mengetahui fakta dan hal terkini mengenai kenegaraan," katanya.
Beliau juga menegaskan BTN bukannya kursus memburukkan mana-mana kaum seperti didakwa pembangkang kerana perkara yang disampaikan adalah yang berkaitan dengan Perlembagaan Negara juga konsep perpaduan dalam masyarakat pelbagai kaum. Jika dilihat kepada fungsi biro berkenaan, ia bertujuan memupuk semangat patriotisme dan kenegaraan serta memberi latihan sikap berteraskan sistem nilai murni termasuk lapan nilai aspirasi 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Bekas Ketua Pengarah BTN, Tan Sri Dr Nordin Kardi dilaporkan, berkata kursus BTN tiada rahsia atau agenda tersembunyi, ia terbuka kepada orang ramai. Kursus dianjurkan BTN mempunyai empat agenda utama untuk disampaikan kepada peserta. Beliau berkata, empat agenda utama itu ialah pertama, ekonomi semasa negara dan kedudukan ekonomi dunia serta kesannya kepada negara. Kedua, mendedahkan peserta mengenai keselamatan dan ancaman yang datang dari dalam dan luar negara serta ketiga, memberi kefahaman mengenai Perlembagaan Negara manakala keempat, kandungan masa depan negara dari segi pendidikan. Melihatkan kepada kursus ditawarkan, seeloknya pemimpin politik pembangkang mengikuti program BTN supaya mereka lebih sayangkan negara daripada membangkitkan isu perkauman atau kontrak sosial. Menjawab persoalan mengenai perlu rombakan untuk BTN, Ahmad yang juga bekas pegawai BTN pada 1991 hingga 1994 berkata, silibus kursus dan program yang dijalankan biro itu sentiasa ditambah baik dan ia tidak perlu dirombak dari segi aspek patriotisme dan nilai murni cuma ia perlu disesuaikan dengan mengikut tuntutan masa. Penjelasan Ahmad Maslan dapat menjawab persoalan ditimbulkan pembangkang, manakala rakan seangkatan dalam BN termasuk Umno, tidak henti-henti bertikam lidah mengenai BTN BTN ialah umpan DAP dalam isu berkenaan dan nampaknya sudah ada pihak yang termakan dengan umpan itu, malah kerajaan juga seakan mengiyakan dengan keputusan terbaru.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:09 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Analisis: Isu kursus Biro Tata Negara agenda DAP

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]