Tindakan Nik Aziz sengaja lencongkan isu

JITRA 29 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sengaja mencetuskan polemik terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengalih isu yang membebankan beliau ketika ini termasuk cubaan menjatuhkannya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Menteri Besar Kelantan itu yang bergelar 'tok guru' tidak sepatutnya berbuat demikian terhadap Perdana Menteri.
"Ini kaedah nak lencong isu memeningkan kepala, cerita menantu, tajaan haji, perpecahan dalam Pas Kelantan dan isu siapa nak ganti beliau sebagai Menteri Besar, tapi janganlah sampai nak doakan yang tak baik," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima borang keahlian baru UMNO daripada 200 belia di Kampung Seberang, di sini hari ini.
Ahmad diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai Nik Abdul Aziz mahu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Najib dan UMNO jika kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, umat Islam tidak boleh berdoa kehancuran sesama Islam.
"Jika Islam membolehkan kita mendoakan hidayah untuk bukan Islam, inikan pula sesama Islam, kita tidak boleh doakan keburukan apatah lagi terhadap pemimpin yang adil.
"Kita beri bantuan kepada rakyat Kelantan menerusi kebijaksanaan kita menyampaikannya, yang penting rakyat dapat faedah," kata beliau.
Mengenai royalti minyak, kata beliau, kerajaan Pusat mengikut peraturan sebagaimana ditetapkan iaitu kawasan tiga batu nautika dari paras air surut sahaja di bawah kerajaan negeri jika mahu dituntut sebarang harta yang ditemui.
"Kawasan minyak ini beratus batu nautika dan kita telah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Thailand dan Vietnam, di luar kawasan perairan negeri itu, jadi sudah cukup dengan wang ihsan," kata beliau.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:26 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

1 comments for Tindakan Nik Aziz sengaja lencongkan isu

  1. Sebagai umat Islam saya amat kecewa dengan tindak-tanduk Datuk Nik Aziz Nik Mat. Orang yang lama dalam politik dan berpengtahuan luas dalam agama Islam tetapi dangkal yang amat sangat.

    Mengapakah seorang yang bergelar Tok Guru sanggup berbuat demikian kalau tidak kerana dorongan nafsu amarah dan kepentingan diri.

    Jelas kini bahawa apa yang dituntut oleh Islam melalui al_Quran dan Hadis gagal dimanfaatkan dengan baik oleh Tok Guru ini. Perpecahan ummah berterusan khususnya umat Melayu/Islam di Malaysia.

    Saya rasa hairan bagaimana beliau tergamak berdoa untuk memusnahkan orang Islam yang lain khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Nampaknya, Tok Guru ini sudah membawa ajaran baru dalam kaedah berdoa. Takjubnya pulak penyokong PAS secara sembrono mengiyakan doa sedemikian. Maka semakin ghairahlah beliau mengkukuhkan tindakannya itu tanpa merujuk kepada disiplin berdoa yang diajar oleh Rasullah yang lebih murni dan ikhlas.

    Apapun tindakan PAS melalui Tok Guru NA ini bukanlah yang terpuji dalam Islam. Jauh sekali mahu berdakwah tetapi lebih banyak berdakyah. Hingga tindakannya itu ternyata melencungkan isu yang melanda dirinya.

    Yang membimbangkan ramai pihak kini ialah kekeliruan dalam mencari rahmat, berkat dan hidayat Allah kian tersasar jauh dari realiti.

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]