Promosi Utusan Melayu Mingguan ke seluruh negara

KUALA LUMPUR 24 Mac - Promosi akhbar jawi, Utusan Melayu Mingguan akan diperluaskan ke seluruh negara bagi membudayakan masyarakat supaya menghargai dan mencintai tulisan jawi sebagai wadah ummah yang mencorak identiti bangsa.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, bagi mencapai tujuan itu, beliau akan menemui semua menteri besar dan ketua menteri yang berketurunan Melayu bagi merangka pelan promosi secara bersama.

Pada masa sama, kata beliau, kementeriannya juga memberi komitmen untuk menyalurkan bantuan berjumlah RM2.2 juta bagi membantu menjayakan semua promosi tersebut pada tahun ini.

Tambahnya, Kementerian Pelajaran juga digesa mewajibkan semua sekolah terutama sekolah kebangsaan supaya membeli Utusan Melayu Mingguan bagi menyemai rasa cinta murid-murid terhadap tulisan jawi sejak usia muda lagi.

"Jumlah peruntukan (daripada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) itu sama seperti yang disumbangkan sebelum ini dan pihak kementerian sedia mempertimbangkan tambahan jumlah bantuan jika keadaan kewangan membenarkan.

"Saya juga akan berbincang dengan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan bagi memastikan semua cawangan dan bahagian UMNO di seluruh negara membeli Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada keluaran Isnin yang mempunyai sisipan jawi.

"Kita harus akui bahawa tulisan jawi perlu disokong sepenuhnya oleh masyarakat Melayu dan jika semua pihak dapat memberi komitmen, ia akan membantu perkembangan akhbar ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan wajah baru Utusan Melayu Mingguan di Perpustakaan Negara di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Mohd. Nasir Ali.

Selain itu, dua bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan iaitu Tan Sri Mazlan Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin turut hadir.

Mengulas lanjut mengenai gesaan supaya akhbar jawi diperluaskan ke sekolah-sekolah, Rais berkata ia bertujuan meringankan beban promosi terhadap Utusan Melayu Mingguan.

Katanya, walaupun Kementerian Pelajaran sudah melaksanakan program pengajian Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain yang dikenali sebagai j-QAF di sekolah-sekolah, usaha menjalankan aktiviti bagi membudayakan tulisan jawi di kalangan pelajar masih perlu ditingkatkan.

"Pengajian j-QAF adalah penentuan menerusi akademik, yang saya maksudkan adalah mempergiatkan dari segi aktiviti atau usaha yang perlu diambil dalam membudayakan penggunaan tulisan jawi di kalangan pelajar.

"Contohnya pembekalan akhbar jawi (Utusan Melayu Mingguan) ke sekolah-sekolah, jika ada 10,000 sekolah yang beli akhbar (jawi) ini, maka sudah ada 10,000 naskhah yang boleh dijual. Ini meringankan beban untuk mempromosi tulisan jawi,'' ujarnya.

Dalam pada itu Rais memberitahu, promosi besar-besaran akhbar jawi itu akan dibantu oleh siaran televisyen daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi mendedahkan rakyat terhadap tulisan jawi.

"Tulisan jawi adalah khazanah budaya kita yang perlu dipertahan dan dimartabatkan.

"Ini adalah satu cabaran kerana kaum Cina dan India di negara ini yang walaupun jumlah mereka lebih kecil berbanding kaum Melayu, tetapi mereka berjaya menyokong akhbar yang diterbit dalam tulisan ibunda masing-masing,'' katanya.

Beliau berkata, di negara Arab didapati bahawa khidmat pesanan ringkas (SMS) itu masih dalam jawi sebahagiannya seperti di Mesir, Jordan dan di beberapa tempat.

"Tetapi di sini kita tentu tidak memikirkan hal itu semua, jadi bagi kita untuk mempersoalkan dalam konteks komunikasi, apakah wajar atau tidak kita cuba menskripkan jawi menerusi SMS," katanya.

Rais berkata, beliau juga akan meminta kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perpustakaan Negara bagi membantu Utusan Malaysia menerbitkan cerpen serta novel pendek dalam tulisan jawi bagi menarik lebih ramai pembaca.

"Mengenai penulisan cerpen dan novel pendek ini, sudah ada pihak swasta yang berminat untuk memberi sumbangan, tetapi pada masa yang sama juga kita akan turut meminta bantuan beberapa syarikat swasta supaya turut membantu,'' jelasnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:06 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Promosi Utusan Melayu Mingguan ke seluruh negara

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]