'Satu tindakan menghasut'




KUALA LUMPUR 19 Mac - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera dalam usahanya membentuk kerajaan 16 September boleh dianggap sebagai berbaur hasutan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendedahan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Parlimen kelmarin cukup serius kerana ia menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan kesetiaan tentera di negara ini.
''Dulu saya ada mendengar tentang desas-desus Anwar cuba meyakinkan wakil-wakil rakyat kita dengan dakwaan Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan kepadanya untuk mengambil alih Kerajaan Pusat dan Panglima Angkatan Tentera juga bersedia bagi tujuan itu.
''Tetapi saya tidak percaya kerana beranggapan ia suatu pembohongan. Rupa-rupanya ia benar dan secara peribadi saya melihat tindakan Anwar itu boleh dianggap sebagai hasutan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Zahrain yang 'menggegarkan' sidang Dewan Rakyat apabila mendedahkan rancangan Anwar untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.
Zahrain berkata, Anwar mengakui Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikannya sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan sementara Panglima Angkatan Tentera juga menyokong pelantikan tersebut.
Anwar yang 'panas punggung' ketika pendedahan itu dibuat bagaimanapun meninggalkan Dewan dan kemudiannya membuat kenyataan kepada wartawan di Lobi Parlimen bahawa Ahli Parlimen Bayan Baru itu telah digunakan oleh UMNO secara murahan.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembohongan Anwar seperti yang didedahkan Zahrain menimbulkan sabitan hasutan dan rampasan kuasa secara muslihat.
Menurutnya, menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera yang konon merestuinya sebagai Perdana Menteri adalah bidaah politik yang boleh diambil tindakan undang-undang.
''Lantaran pembohongan itu, Anwar harus diambil tindakan dengan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat kerana beliau bermain sandiwara merosakkan negara dan rakyat perlu menghukumnya," tegas beliau.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, pendedahan Zahrain itu jelas membuktikan Anwar seorang pembohong dan bijak berkata-kata hanya kerana mahu mencapai kepentingan peribadinya.
Menurutnya, seluruh ahli PKR seharusnya sedar dan tidak menyokong 'fatamorgana' Anwar mengenai pengambilalihan Kerajaan Pusat 16 September.
''Pendedahan cubaan beliau menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera serta kononnya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti merupakan taktik dan strategi Anwar yang akhirnya memakan diri sendiri," katanya.
Beliau berkata, dengan pendedahan itu, rakyat seharusnya dapat menilai dan mengetahui siapa sebenarnya pemimpin PKR itu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:54 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 'Satu tindakan menghasut'

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]