'MCA usah salahkan pihak lain'

Masalah perpecahan dalaman punca sebenar parti ditolak orang Cina

KUALA LUMPUR: Umno menasihatkan MCA supaya tidak bersikap menuding jari menyalahkan pihak lain, termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), sebagai punca pengundi Cina menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, menyifatkan tindakan MCA itu sebagai alasan untuk melepaskan diri semata-mata berikutan parti berkenaan masih gagal meraih kembali sokongan pengundi Cina selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12.
Beliau berkata, MCA tidak wajar bertindak sedemikian, sebaliknya perlu menumpukan kepada `buat kerja’ dan mencari kesilapan parti itu sendiri untuk diperbetulkan dengan secepat mungkin.

“Saya berterus-terang, Perkasa adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa mengambil sebarang hak yang sudah banyak diperoleh orang Cina. Tindakan itu tidak ada salahnya.

“Mungkin orang Cina sudah bosan dengan segala perpecahan yang berlaku dalam MCA selama ini. Kemelut parti itu baru selesai, jadi mungkin kepemimpinan barunya masih belum rapat dengan masyarakat akar umbi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu, kelmarin bahawa salah satu faktor menyebabkan masyarakat Cina kurang yakin terhadap BN adalah persepsi pakatan dan kerjasama diberikan oleh sesetengah pemimpin parti itu kepada pertubuhan ekstremis.
Gan mendakwa, permintaan Ahli Parlimen Bebas yang juga Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, supaya kerajaan menangguhkan peruntukan serta kelulusan projek untuk masyarakat Cina yang digambarkan sebagai ‘kacang lupakan kulit’ adalah terlampau, merosakkan imej komuniti itu dan menimbulkan elemen hasutan.

“Seandainya BN ingin mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat bukan Melayu, ia harus menjauhkan diri daripada segala bentuk pertubuhan bersifat rasis seperti Perkasa. Jika tidak, nescaya BN akan hilang kepercayaan dan sokongan masyarakat bukan Melayu dalam PRU Ke-13,” kata Gan.

Sementara itu, Ibrahim ketika dihubungi pula menyifatkan MCA menjadikan Perkasa sebagai ‘kambing hitam’ untuk menutup kele-mahan sendiri, sedangkan parti itu sudah mengalami kekalahan teruk dalam PRU Ke-12 sebelum pertubuhan berkenaan diwujudkan pada 2009.

“MCA tolong cermin diri. Video lucah presiden (skandal seks Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek), krisis dalaman parti, kurang khidmat kepada masyarakat Cina akar umbi, bekas wakil rakyat MCA tiga penggal serta digugurkan pun buat hal, dan jentera MCA di Selangor ‘haprak’ adalah punca sebenar masyarakat Cina tidak mengundi BN. Mereka begitu bencikan MCA,” katanya.

“Insaflah wahai MCA. Saya kasihan pada MCA, dah lemah akuilah. MCA ‘kalah’ dan malu pada DAP, maka salahkan pihak lain. Nasib baik ada Perkasa untuk dijadikan alasan. Jika MCA hendak membuat tuntutan seperti DAP (Malaysia Malaysian) dan sekiranya BN atau kerajaan menerimanya, maka adalah lebih baik mempelawa DAP menyertai BN,” katanya secara sinis.

Sambil menegaskan beliau tidak bertujuan mencari populariti tetapi sekadar memperkatakan perkara yang benar, Ibrahim berkata, dirinya sedia maklum kenyataan terdahulu akan dipertikaikan tetapi beliau sengaja `jolok’ untuk provokasi supaya masyarakat Cina sedar dan insaf mengenai sumbangan kerajaan kepada mereka.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:50 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 'MCA usah salahkan pihak lain'

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]