Fitnah tidak lemahkan sokongan peneroka


Fitnah tidak lemahkan sokongan peneroka

PONTIAN 28 Jun - Dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Felda akan bankrap tidak akan melemahkan sokongan para peneroka kepada organisasi tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, 'serangan' PKR menerusi Suara Keadilan yang menjadi lidah rasmi parti pembangkang berkenaan juga tidak menjejaskan kepercayaan para pelabur luar terhadap Felda.
Jelas beliau, para peneroka Felda turut marah dan kecewa dengan tindakan Suara Keadilanyang melaporkan berita pembohongan itu.
Beliau mendakwa, serangan PKR terhadap Felda itu didalangi seorang bekas Timbalan Menteri yang kini mengetuai satu biro dalam parti itu.
"Kami yakin peneroka tetap bersama Felda yang mengubah kehidupan mereka daripada tidak mempunyai tanah dan tiada harta tetapi kini menikmati kehidupan lebih baik dan terjamin," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Parit Betak, Benut dekat sini, semalam.
Jumaat lalu, Ahmad yang bertanggungjawab ke atas Felda mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan dan beberapa pemimpin parti itu kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah itu.
Akhbar Suara Keadilan pada 22 hingga 29 Jun itu menyiarkan berita utama muka hadapannya dengan tajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran sama.
Empat pemimpin pembangkang yang turut akan disaman ialah Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr. Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Wahid Endut.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, tindakan Suara Keadilan yang terus menyiarkan pembohongan seperti yang pernah dilakukan terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, perlu disekat.
"Fitnah dan pembohongan oleh Suara Keadilan perlu ditentang semua pihak supaya mereka tidak terus menggunakan kebebasan bersuara untuk melaporkan berita palsu," katanya.
Beliau berkata, Felda tidak akan bankrap seperti dakwaan Suara Keadilan kerana ia mempunyai aset yang mencukupi.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 6:03 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Fitnah tidak lemahkan sokongan peneroka

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]