'Saman Suara Keadilan satu tindakan tepat'

SHAH ALAM 27 Jun - Tindakan undang-undang yang bakal diambil Felda terhadap akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan kerana menyiarkan laporan berunsur fitnah dengan mengatakan organisasi itu telah bankrap adalah satu keputusan yang tepat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ia merupakan salah satu cara untuk menangani taktik parti pembangkang yang begitu agresif memfitnah kerajaan.
"Saya sokong tindakan Felda untuk saman Suara Keadilan dan PKR. Mudah-mudahan apa yang benar akan dibuktikan dan rakyat dapat tahu dengan jelas siapa yang benar.
"Harta Felda banyak dan sudah tentu dia akan keluarkan wang untuk membeli ladang baru sebagai pelaburan dan dalam proses itu sudah tentu Felda akan gunakan wang tunai.
"Bukan mereka tak tahu semua ini, tetapi sengaja nak manipulasi," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja 2010 di Bukit Kemuning di sini petang ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil; Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Ir. Kamaruzzaman Johari dan Ketua Penerangannya, Datuk Abdul Razak Dawood.
Terdahulu Mohd. Ali bersama kira-kira 100 ahli UMNO membakar akhbar Suara Keadilansebagai tanda protes terhadap akhbar itu yang menyiarkan berita fitnah bertajuk 'Felda Bangkrap' dalam keluaran Bilangan 237 bertarikh 21 hingga 29 Jun 2010.
Mereka turut melaungkan 'hancur PKR' dan 'tangkap Anwar' (Datuk Seri Anwar Ibrahim) beberapa kali.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan kerana mengeluarkan artikel yang mendakwa organisasi itu bankrap.
Tindakan sama juga akan diambil terhadap Anwar dan beberapa pemimpin tertinggi PKR, Pas, Ketua Pengarang Suara Keadilan serta wartawannya kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam akhbar itu.
Ditanya mengenai tindakan membakar akhbar Suara Keadilan, Mohd. Ali memberitahu, ia kemuncak kemarahan ahli UMNO terhadap pembangkang yang dianggap melampau kerana sering menghasut rakyat mempercayai sesuatu yang tidak benar.
"Jangan ingat UMNO hanya berdiam diri saja. Sebelum ini pun kita pernah bakar akhbar rasmi DAP iaitu Roket dan Harakah (akhbar rasmi Pas).
"Pembangkang pun banyak kali pernah bakar akhbar Utusan Malaysia.
"Jadi tiada sebab untuk UMNO tidak boleh bakar akhbar rasmi PKR itu," katanya.
Mohd. Ali menasihatkan ahli UMNO agar tidak berhenti menangani setiap fitnah yang dihamburkan pembangkang dengan memberikan penjelasan yang sebenar kepada rakyat.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:02 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 'Saman Suara Keadilan satu tindakan tepat'

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]