Suara Keadilan diberi 7 hari jawab surat tunjuk seba
6:07 PM
Suara Keadilan diberi 7 hari jawab surat tunjuk sebab
PUTRAJAYA 28 Jun - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini kepada akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Suara Keadilan untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung satu artikel dalam keluaran terbarunya bertajuk Felda Bangkrap.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, kegagalan akhbar itu mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan ia berdepan dengan tindakan tegas termasuk digantung permit penerbitan.
Selain itu jelas beliau, akhbar tersebut juga perlu memberi jawapan ke atas tiga surat tunjuk sebab mengenai pelbagai isu yang telah dikeluarkan sebelum ini selewat-lewatnya pukul 5 petang esok.
''Sebelum ini mereka diberikan tiga surat tunjuk sebab iaitu pada bulan Januari, Februari dan April tetapi gagal menjawabnya.
''Atas sebab itu, kami memberi amaran tegas bahawa mereka perlu menjawab ketiga-tiga surat tunjuk sebab itu sebelum pukul 5 petang esok atau bakal menghadapi tindakan tegas termasuk digantung permit penerbitannya.
''Sama ada mereka menjawab atau tidak, kami akan mengadakan satu mesyuarat bagi menentukan tindakan yang selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan selama tiga jam bermula pukul 5.20 petang dengan Ketua Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib di sini hari ini.
Difahamkan, permit tahunan bagi penerbitan akhbar berkenaan akan tamat pada penghujung bulan ini dan dikatakan pihak Suara Keadilan ada membuat permohonan memperbaharui permit itu.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan kerana mengeluarkan artikel yang mendakwa organisasi itu bankrap.
Tindakan sama juga akan diambil terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu, Pas, Ketua Pengarang Suara Keadilan serta wartawannya kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam akhbar itu.
Dalam keluarannya pada 22 hingga 29 Jun, akhbar itu menyiarkan berita utama muka hadapannya dengan tajuk Felda Bangkrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran sama.
Mahmood memberitahu, beliau menyifatkan kegagalan Suara Keadilan menjawab surat tunjuk sebab itu sebagai suatu yang serius.
''Saya ada tekankan perkara itu dalam perjumpaan tersebut dan inilah kali pertama kes sebegini dikendalikan sendiri oleh ketua setiausaha kementerian kerana selalunya diuruskan oleh timbalan ketua setiausaha," katanya.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 6:07 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0