2 formula tawan K.Terengganu, Marang

2 formula tawan K.Terengganu, Marang

KUALA TERENGGANU 11 Julai - Jika mahu tawan semula Parlimen Kuala Terengganu dan Marang, UMNO Terengganu perlu guna dua formula mudah iaitu '2020' dan 'KBSMM'.

Itu saranan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan kepada dua barisan kepimpinan UMNO Bahagian itu jika mereka mahu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, formula 2020 merupakan pendekatan 20,000 ahli UMNO perlu mencari 20,000 ahli UMNO baru bagi membolehkan jumlah 40,000 undi daripada parti berkenaan diperoleh manakala sejumlah 5,000 undi lagi diperoleh daripada parti komponen MCA.

"2020 ini diambil sempena wawasan 2020 yang dilaungkan rakyat dalam mencapai pembangunan jitu negara. Justeru, kita ambil 2020 ini untuk dijadikan sasaran UMNO Terengganu dalam usaha menawan dua kawasan tersebut.

"Jumlah pengundi di kawasan ini hanya 80,000 orang dan jika UMNO memperoleh 45,000 undian pasti kita dapat menguasai kembali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Razali Ismail di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Marang, Yahaya Khatib Mohamad.

Selain itu, kata Ahmad, satu lagi formula adalah kaedah KBSMM iaitu 'kenduri, bersalin, sakit, malapetaka dan mati' yang merupakan kaedah yang paling mudah untuk wakil rakyat mendekati rakyat setiap kali lima perkara itu berlaku.

"Jika kita perhatikan lima perkara yang dirujuk KBSMM itu, memerlukan perwakilan turun padang dan sekali gus berpeluang mendekatkan diri dengan rakyat.

''Contohnya jika ada jemputan kenduri, kita pergi, kalau ada rakyat sakit, kita melawat dan jika ada yang ditimpa malapetaka, kita beri bantuan.

"Apa yang penting kita perlu melakukan dua formula ini dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua formula itu dicipta khusus untuk dua kawasan tersebut di mana pada pilihan raya sebelum ini kawasan itu telah kalah dengan undian di bawah 3,000 pengundi.

Bagaimanapun, tambahnya, dua formula tersebut juga boleh digunapakai oleh negeri lain memandangkan kaedah tersebut amat praktikal dan mudah dilaksanakan.

Jelas beliau, bagi memantapkan pergerakan UMNO di Terengganu, kepimpinan tertinggi parti akan turun padang setiap bulan di dua kawasan berkenaan bagi memberi sokongan padu terhadap parti itu.

"Kita ada 26 kawasan yang telah ditawan dan kini kita yakin akan menawan 26 lagi kawasan di negeri ini untuk UMNO menang pada pilihan raya umum nanti," jelasnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:34 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 2 formula tawan K.Terengganu, Marang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]