Promosi APMM di kem PLKN tarik bukan Melayu


KUANTAN 2 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bagi menarik minat para pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), khususnya bukan Melayu menyertai agensi itu.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya memilih kem PLKN untuk menerangkan kelebihan APPM kerana ia menempatkan pelatih pelbagai kaum.
Katanya, ini kerana jumlah penyertaan golongan bukan Melayu di dalam agensi itu masih rendah dan pemilihan kem PLKN bertujuan mendedahkan agensi itu kepada mereka.
Beliau menambah, langkah sedemikian adalah lanjutan promosi kerjaya agensi itu di seluruh negara bagi menarik minat masyarakat menyertai agensi tersebut.
"Saya akan mengadakan perbincangan dengan JLKN untuk menempatkan pegawai APMM di kem-kem tertentu bagi menghebahkan mengenai agensi itu kepada para pelatih PLKN.
"Penerangan itu akan dilaksanakan tahun ini dan mereka boleh memperoleh pelbagai maklumat mengenai fungsi dan operasi APMM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Maritim di Pusat Latihan APMM, Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah APMM, Datuk Laksamana Mohd. Amdan Kurish dan Pengarah Pendidikan dan Latihan APMM, Kapten Maritim Mohd. Aliyas Hamdan.
Pada majlis itu, seramai 95 pegawai muda maritim berjaya menamatkan latihan maritim selama sembilan bulan di pusat latihan di sini.
Ahmad berkata, selain kem PLKN, pihaknya akan meneruskan hebahan ke universiti tempatan bagi memperkenalkan agensi itu kepada pelajar terbabit.
Tambahnya, langkah sedemikian dibuat kerana telah ada aktiviti beruniform di universiti sepertiPasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan pasukan simpanan unit beruniform agensi-agensi lain.
Jelasnya, dengan pengenalan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka menyertai agensi ini yang mempunyai pelbagai fungsi operasi di darat dan udara.
"Ia dapat dilihat apabila penyertaan sebilangan para pegawai maritim yang tamat latihan hari ini terdiri anggota Palapes dan lain-lain unit beruniform lain," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, fasa pertama dan kedua projek pembinaan Pusat Latihan Maritim di Sungai Ular, Gebeng dekat sini dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2011.
Ahmad berkata, dengan adanya pusat latihan baru itu, ia dapat menampung jumlah pelatih sehingga 900 berbanding jumlah yang agak terhad di tempat latihan sekarang.
Tambahnya, pembinaan pusat baru itu akan mengurangkan kebergantungan terhadap pihak luar dalam pelaksanaan latihan yang dijalankan sebelum ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:46 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Promosi APMM di kem PLKN tarik bukan Melayu

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]