Kebajikan peneroka dititik berat

JEMPOL 26 Ogos – Perdana Menteri menegaskan segala kebajikan peneroka Felda termasuk masa hadapan mereka akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hari ini tiada lagi kesangsian dengan segala kebajikan, kemudahan, kesejahteraan hidup dan sebab itulah, masa hadapan Felda akan terus dipertahankan sampai bila-bila. ‘‘Hari ini Felda sudah berjaya dan sebab itulah ada pihak hendak menjatuhkan kewibawaan organisasi ini hari ini. ‘‘Peneroka adalah antara tonggaknya dan 317 rancangan Felda seluruh negara dengan 112,635 peneroka sentiasa berdiri teguh di belakang kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program Rahmat Ramadan dan Berbuka Puasa di Masjid Bandar Seri Jempol di sini hari ini. Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Yusof Noor serta beberapa menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan negeri. Tambah Najib, apabila ada pihak yang melihat Felda sudah berjaya, maka timbullah banyak suara yang mengatakan Felda bankrap. ‘‘Hari ini saya hairan. Saya pun tahu baca akaun, Pengerusi Felda pun tahu, kita tengok akaun dan tilik punya tilik, muka depan hingga muka belakang, tak tahu yang mana Felda dikatakan bankrap,” kata beliau. Menurutnya, aset bersih selepas ditolak liabiliti bagi akaun Felda ketika ini adalah sebanyak RM12.2 bilion. ‘‘Yang saya tahu, bila orang sudah bankrap, gulung tikar, barangkali taukenya pun sudah pakai selipar Jepun dan singlet, jalan pun terhoyong-hayang,” kata beliau. Najib menjelaskan, hari ini Felda masih lagi tegap dan jika ia ‘tumbang’, bagaimana Felda boleh bayar cukai tahunan dan tahun lepas sahaja Felda bayar cukai sebanyak RM78 juta kepada kerajaan. ‘‘Kalau badan atau organisasi itu bankrap, mereka tidak perlu bayar zakat, tetapi hari ini Felda keluarkan zakat perniagaan sebanyak RM1.8 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). ‘‘Tahun lepas sahaja, Felda sudah bayar zakat sebanyak RM25.8 juta,” tegas beliau. Tambahnya, Felda juga menyediakan kemudahan pinjaman rumah tanpa faedah sebanyak RM662 juta sebelum ini, termasuklah menyediakan skim insurans kepada peneroka. ‘‘Tetapi hari ini, ramai yang mahu saman Felda dan apa yang berlaku di Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan itu disebabkan peguam Felda tidak hadir. ‘‘Kita terimalah kekalahan ini dan dalam kes saman yang akan datang kita akan terus mempertahankan imej Felda dan tidak mudah untuk orang saman sebuah organisasi yang telah mendapat pengiktirafan pelbagai pihak ini,” tegas beliau. Pada ucapan sama, Najib turut meminta semua rakyat mensyukuri nikmat yang diberikan termasuklah hidup dalam sebuah negara yang aman ini. ‘‘Warga peneroka dan seluruh rakyat harus mengenang nikmat yang Allah SWT limpahkan kepada kita semua dan nikmat untuk beribadat dengan aman dan damai,” kata beliau. Kata Najib lagi, peneroka juga wajar mensyukuri nikmat berada dalam sebuah negara yang dipimpin oleh sebuah kerajaan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sejak dahulu lagi. ‘‘Gagasan pembangunan Felda ini telah diterima dan diiktiraf banyak pihak. Hari ini banyak negara yang mahu mengikutinya tetapi tidak berjaya. Inilah satu gagasan yang paling berjaya ketika ini,” kata Najib. Pada majlis ini, beliau turut menyampaikan duit raya berjumlah RM37.2 juta untuk diagihkan kepada peneroka Felda seluruh negara melalui Ketua Peneroka Felda, Samsudin Othman. Turut diserahkan zakat perniagaan daripada Najib kepada Mohamad, selaku Pengerusi MAINS yang berjumlah RM1.8 juta. Najib juga menyerahkan duit raya berjumlah RM5.3 juta kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Wilayah Raja Alias, Osman Parman untuk diagihkan kepada peneroka di kawasan ini. Najib kemudiannya menunaikan solat maghrib dan tarawih bersama seluruh umat Islam dan peneroka Felda di Masjid Bandar Seri Jempol, di sini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:43 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kebajikan peneroka dititik berat

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]