Ketua kampung perlu sentiasa jaga imej

PONTIAN 21 Sept. - Ketua-ketua kampung di daerah ini perlu sentiasa menjaga imej dan keterampilan diri supaya bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai wakil kerajaan di peringkat kampung.
Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung Daerah Pontian, Khalid Jaafar berkata, mereka juga hendaklah sentiasa memahami tugas masing-masing tanpa melangkaui kerja-kerja pihak lain.
Katanya, jika ada masalah yang berbangkit mengenai sesuatu isu atau masalah, mereka perlu merujuk kepada Penghulu Mukim yang seterusnya akan membawa perkara tersebut ke pengetahuan Pegawai Daerah.
Katanya, persoalan itu diutarakan memandangkan ada sesetengah mereka masih tidak memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing sehingga mengabaikan tugas sebenar.
"Setiap tindakan yang diambil berdasarkan kepada jawatan yang disandang (ketua kampung) walaupun mereka menganggotai pelbagai pertubuhan dan persatuan di tempat masing-masing," katanya pada Mesyuarat Agung Persatuan Ketua Kampong Daerah Pontian kali ke-7, di sini, semalam.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Sempena mesyuarat agung tersebut, diadakan penyampaian cenderamata kepada bekas-bekas ketua kampung.
Tambah Khalid, mereka juga perlu memakai pakaian yang sesuai ketika menghadiri sesuatu majlis rasmi seperti menghadiri mesyuarat, perjumpaan bersama Pegawai Daerah mahupun program-program anjuran kerajaan.
"Ada ketikanya, sesetengah daripada mereka hanya memakai kemeja-T dan selipar yang boleh menimbulkan tanggapan negatif orang ramai kepada institusi ketua-ketua kampung itu sendiri," ujarnya.
Menurut beliau, mengenai penyeliaan soal-soal pembangunan, mereka hendaklah melihat perkara lain seperti soal ekonomi penduduk, pendidikan pelajar sekolah, masalah belia serta keagamaan.
Dalam pada itu, Khalid meminta kerajaan segera membayar ganjaran kepada ketua-ketua kampung yang telah bersara pada usia 65 tahun berdasarkan kepada tempoh lama mereka memegang jawatan tersebut.
"Kadar yang dikira adalah RM25 sehari atau RM300 sebulan didarab dengan tempoh perkhidmatan memandangkan ada di kalangan mereka yang telah meninggal dunia namun belum menerima ganjaran," jelas beliau.
Beliau berharap, isu kelewatan bayaran ganjaran atau pampasan dapat disegerakan bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka yang menjalankan tugas sebagai ketua kampung.
"Ada di kalangan mereka telah berkhidmat selama 25 hingga 30 tahun yang tentunya mengharapkan sedikit ganjaran bagi menampung kehidupan mereka seharian atau untuk kegunaan lain," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:01 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ketua kampung perlu sentiasa jaga imej

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]