Arahan bayar RM1,700 selari dasar FELDA

Arahan bayar RM1,700 selari dasar FELDA

2010/10/08

KUALA LUMPUR: Walaupun FELDA diarahkan membayar RM1,700 bagi setiap seekar tanah yang diusahakan sendiri oleh 11 peneroka FELDA Sungai Koyan 2 dan 3 oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 29 September lalu, ia tidak bermaksud FELDA kalah dalam kes berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata keputusan mahkamah itu sebenarnya selari dengan dasar FELDA berhubung proses pengeluaran wang tanaman semula oleh peneroka mengikut garis panduan sudah ditetapkan. Justeru, beliau menyangkal kenyataan Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, dalam laporan lidah rasmi PAS, Harakah 4-7 Oktober yang bertajuk ‘FELDA Kalah Lagi’ dianggap sebagai tidak tepat.
“Dalam kes ini FELDA sebenarnya adalah tidak kalah dan tidak perlu merayu terhadap keputusan yang ditetapkan mahkamah kerana apa diputuskan mahkamah tinggi sememangnya sudah termaktub dalam garis panduan FELDA kepada mana-mana peneroka yang menguruskan tanaman semula sendiri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Ahmad berkata, kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi ANAK itu yang menyatakan keputusan mahkamah tinggi itu bermaksud 11,000 peneroka yang terbabit dalam tanaman sawit membabitkan keluasan 14 ekar setiap seorang mempunyai hak untuk melaksanakan aktiviti tanam semula tanpa melalui FELDA dan berhak mendapat bayaran RM1,700 bagi setiap ekar serta mengarahkan FELDA menyerahkan RM261.8 juta wang pampasan adalah tidak tepat.

Beliau berkata, adalah tidak benar wujud 11,000 peneroka yang perlu dibayar RM261.8 juta FELDA kerana proses ini sebenarnya berterusan. Seramai 14,882 peneroka yang menguruskan tanaman semula sendiri kini sudah dan sedang dibayar wang tanaman semula.
“Daripada 11 peneroka yang menuntut bayaran wang tanam semula, tiga daripada mereka sudah menerima bayaran kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan, jadi tiada isu yang menyatakan FELDA enggan membayar wang tanam semula seperti yang dinyatakan Mazlan,” katanya.

Ahmad berkata, tidak ada sebab sebenarnya untuk warga FELDA berterusan menyaman pengurusan FELDA kerana jika tidak disaman pun bayaran sebagaimana mengikut garis panduan ditetapkan masih tetap dilaksanakan.

Ditanya sama ada FELDA akan mengambil tindakan terhadap Harakah berhubung laporan itu, Ahmad berkata isu dinyatakan itu tidaklah berat hingga tindakan saman perlu dilakukan cuma laporan akhbar berkenaan agak mengelirukan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:03 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Arahan bayar RM1,700 selari dasar FELDA

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]