Galas jadi medan tebus kekalahan BN

Galas jadi medan tebus kekalahan BN

KUANTAN 1 Okt. - Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dilihat sebagai medan untuk Barisan Nasional (BN) menebus kekalahan di Manek Urai tahun lalu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, BN dilihat mampu merebut kerusi DUN berkenaan daripada Pas berdasarkan rekod kekalahan tipis pada pilihan raya kecil Manek Urai Julai tahun lalu.

''Dengan persiapan rapi termasuk kerjasama semua parti komponen bersama-sama UMNO, saya yakin BN mampu mencapai kemenangan sekali gus merampas kembali kerusi itu daripada Pas.

''Saya berkata demikian kerana berdasarkan rekod kita di Manek Urai, BN tewas dengan 65 undi sahaja. Oleh itu, kita berazam menjadikan Galas sebagai medan bagi menebus kekalahan tersebut," katanya kepada pemberita di majlis pemimpin bersama penduduk di Felda Sungai Panching Selatan di sini hari ini.

Pada 14 Julai tahun lalu, calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah, 50, memenangi kerusi DUN Manek Urai apabila mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan majoriti 65 undi.

Kerusi DUN Galas pula kosong selepas penyandangnya, Che Hashim Sulaima, 46, meninggal dunia pada Isnin lepas akibat barah usus.

Kerusi tersebut dimenangi calon Pas itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dua tahun lalu selepas menewaskan penyandang daripada BN, Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Ahmad, beliau melihat pilihan raya kecil Galas mampu memberi kemenangan kepada BN berdasarkan empat faktor iaitu melibatkan pelbagai kaum termasuk Orang Asli yang melambangkan sentimen rakyat mahukan satu kerajaan pemerintah.

''Faktor kedua pula, Galas begitu penting kerana penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar baru yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Seterusnya, saya melihat pemilihan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu sebagai tepat kerana beliau cukup sinonim di kawasan tersebut," katanya.

Jelasnya, Tengku Razaleigh juga tidak pernah kalah sepanjang bertanding atas tiket BN mahupun Semangat 46.

Tambahnya, faktor terakhir adalah penduduk di Galas dilihat tidak mahu atau serik berada di bawah Pas kerana parti itu gagal memberikan sebarang pembangunan di kawasan berkenaan.

''Penduduk Galas sudah jemu dengan janji-janji manis yang ditaburkan Pas setiap kali mereka berceramah.

''BN akan dapat memenangi kerusi di kawasan berkenaan asalkan semua parti termasuk MCA, MIC dan Gerakan sentiasa memberikan kerjasama yang padu bagi menggerakkan jentera pilihan raya," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:55 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Galas jadi medan tebus kekalahan BN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]