Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi


LABIS 23 Jan. - Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi pilihan raya di seluruh negara sekiranya mereka ingin terus memainkan fatwa bahawa mengundi UMNO adalah haram.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, jika benar fatwa itu untuk menyelamatkan umat Islam di negara ini, parti pembangkang berkenaan harus berani untuk bertanding di semua kerusi di seluruh negara.

"Mengundi Pas wajib syarie dan mengundi UMNO haram syarie. Itu jelas fatwa politik yang songsang dan amat merbahaya. Ia hanya fatwa politik dan kalau betul mereka begitu, kenapa tidak bertanding di semua kawasan pilihan raya untuk selamatkan semua umat Islam.

"Kenapa perlu bergabung di tempat tertentu dan bagi DAP bertanding. Apakah di tempat DAP bertanding tidak ada umat Islam? Ia memang hanya fatwa politik songsang dan amat dikesali kerana terus dimainkan pada ketika ini," katanya kepada Utusan Malaysia semasa mengadakan kempen dari rumah ke rumah di Taman Suria dan Taman Sinar Emas di sini hari ini.

Pada lawatan itu, Ahmad bukan sahaja mengedarkan risalah mengenai calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim, 39, malah turut memberikan senaskhah akhbar Mingguan Malaysia kepada pengundi di rumah-rumah yang dilawatinya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengulangi 'fatwa' itu bahawa haram mengundi UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, jika Pas tidak boleh berbuat demikian, memang sah itu fatwa politik sahaja kerana untuk bersekongkol dengan DAP, mereka mengenepikan fatwa tersebut.

Beliau berkata, fatwa yang dibuat Pas sentiasa berubah-ubah semata-mata untuk meraih undi pada pilihan raya. Pada PRK DUN Tenang, Pas mencalonkan calon wanita, Normala Sudirman, 38, bagi menghadapi BN.

"Dulu kata wanita tidak boleh bertanding, tapi sekarang boleh pula. Dulu tak boleh bersama dengan orang bukan Islam, sekarang dia yang berpakat bukan main.

"Dulu tak boleh kerja malam, sekarang ini kalau tak boleh kerja malam, macam mana nak jadi wakil rakyat. Jadi wakil rakyat ini kena kerja siang malam, pagi petang, subuh senja. Kalau tak boleh buat, lebih baik tak payah bertanding," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengundi Tenang supaya tidak terpengaruh kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu meletakkan peluang menang pada PRK DUN Tenang 40 peratus sahaja.

Menurutnya, para pengundi di Tenang harus berhati-hati dengan taktik berkenaan yang disifatkannya sebagai 'jerangkap samar' politik Pas untuk meraih undi simpati rakyat.

Beliau berkata, pada mulanya Pas mengatakan hanya bertanding untuk mengurangkan majoriti, kemudian sekadar mendapatkan undi diperoleh seperti pada Pilihan Raya Umum 2008 dan kini hanya menaruh harapan 40 peratus.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:15 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pas dicabar bertanding di semua 222 kerusi

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]