Ahmad Maslan cabar Anak berdialog secara tertutup

LABIS 26 Jan. - Cabar-mencabar mengenai isu Felda antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dengan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman belum menemui titik pertemuan.

Jika semalam Mazlan mencabar Ahmad berdialog secara terbuka esok, hari ini, Ahmad pula mencabar pemimpin Anak itu berdialog secara tertutup mengenai perkara tersebut.

"Saya ingin menyatakan, saya bersetuju untuk mencabar beliau berdialog secara tertutup. Itu cabaran balik kepada Mazlan Aliman untuk menyelesaikan apa juga yang tersangkut dalam kepala dan perkara yang menjadi pertikaian Anak dengan Felda.

"Oleh itu, jika dia anak jantan, sudilah apa kira terima cabaran saya (berdialog secara tertutup). Kalau dia tak nak terima bererti dia ada tujuan lain dan bukan bertujuan untuk selesaikan masalah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas untuk menjawab cabaran Mazlan menerusi satu memorandum yang diserahkan semalam untuk berdebat dengan beliau mengenai isu Felda. Memorandum itu diserahkan Setiausaha Anak, Zabidi Abas kepada polis bantuan di Pejabat Felda Wilayah Segamat.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, cabaran Mazlan itu yang kedua diterimanya selepas yang pertama untuk berdebat dihantar pada April tahun lalu dan kemudian beliau meminta untuk berdialog mengenai isu itu dan semalam Mazlan ingin berdialog secara terbuka dengannya.

Beliau menolak untuk berdebat dan berdialog secara terbuka kerana ia memerlukan masa yang lama untuk kedua-dua pihak berhujah menyelesaikan perkara itu.

"Kenapa saya tak nak berdebat? Adakah saya takut untuk berdebat? Saya sudah biasa berdebat sejak tingkatan tiga, malah mewakili sekolah dalam pertandingan sehingga ke peringkat kebangsaan termasuk semasa di universiti.

"Kenapa saya minta berdialog? Kalau debat cuma satu jam, dia bawa 20 perkara, mana boleh selesai. Kalau dia bawa 15 orang dalam dialog tertutup dan saya bawa 15 pegawai di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur, bila-bila masa yang bersetuju bersama boleh berdebat," katanya.

Menurutnya, jika berdialog, bukan hanya satu jam diberikan, malah dua hari pun beliau sanggup berdialog sehingga semua isu yang dibangkitkan Mazlan diselesaikan.

Ditanya apakah antara 20 perkara yang dibangkitkan oleh Mazlan, beliau memberitahu, ia termasuk isu membabitkan beberapa individu yang disifatkannya hanya masalah peribadi individu berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, debat yang dicadangkan itu tidak akan mencapai 'matlamat' untuk mengadakannya kerana fokus sebenar perkara tersebut lebih tertumpu kepada usaha meraih keuntungan politik semata-mata.

Selain itu menurutnya, debat tersebut hanya akan dijadikan platform bagi pihak berkenaan untuk menarik kedatangan ramai orang sedangkan mereka tahu bahawa ia tidak mendapat banyak sokongan.

"Tujuan mereka (berdebat) bukan nak selesaikan (masalah) dan ia bukan benda yang baru, cuma bila dah dekat pilihan raya maka perkara itu akan timbul semula," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:54 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Ahmad Maslan cabar Anak berdialog secara tertutup

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]