Bekas guru, askar terima kerusi roda



Ahmad Ibrahim (depan, kiri) dan Samshi Othman (depan, kanan) bergambar bersama Mohd. Joni Bimin (dua dari kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi di Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 7 Jun - Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Pontian menyampaikan sumbangan dua buah kerusi roda bagi membantu dua ahlinya yang menghadapi masalah kesihatan agar dapat mengurus kehidupan seharian tanpa terlalu bergantung kepada orang lain.

Mereka ialah bekas anggota tentera, Ahmad Ibrahim, 64, yang dipotong kaki disebabkan kesan tembakan yang masih dirasai walaupun selepas 40 tahun berlalu sementara penerima kedua ialah seorang bekas guru, Samshi Othman, 66, yang menghidap angin ahmar sejak enam tahun lalu.

Majlis penyerahan kedua-dua kerusi roda tersebut dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan sempena majlis penyampaian geran bagi projek kecil pertanian Parlimen Pontian, di sini baru-baru ini.

Ketika ditemui, Ahmad berkata, kakinya telah ditembak dalam satu serang hendap ketika berkhidmat sebagai anggota di unit perubatan di Kuching, Sarawak pada 1971 dan dia tidak menyangka kaki kanannya terpaksa dipotong Mac lalu bagi mengelakkan kesan sampingan.

"Kesan peluru masih dirasai dan berbisa, sehingga kaki kanan ini terpaksa dipotong walaupun empat dekad telah berlalu," ujarnya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Ahmad memberitahu, Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sedang menguruskan pemberian kaki palsu bagi membolehkannya berjalan seperti orang lain.

Sementara bagi Samshi, beliau mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Pontian di atas usaha mereka membantu bekas-bekas kakitangan awam yang telah bersara sepertinya.

Katanya, dia juga tidak menduga akan menerima sumbangan seunit kerusi roda bagi sejak diserang angin ahmar selepas bersara pada 2003 yang lalu.

"Saya menamatkan perkhidmatan sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran, Pontian setelah bertugas lebih 30 tahun dalam sektor awam bermula pada 1970-an lalu," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Daerah Pontian, Mohd. Joni Bimin berkata, sumbangan yang diberikan merupakan antara usaha untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya.

Katanya, sebelum ini, pihaknya ada menyumbangkan sebuah kerusi roda juga kepada ahlinya yang menghidapi masalah kesihatan semasa mesyuarat agung persatuan tersebut baru-baru ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:00 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Bekas guru, askar terima kerusi roda

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]