Hukuman enam nelayan kekal

Dua orang anak Redzuan Ariss, nelayan yang ditahan di Indonesia iaitu Hasif Nur Firdaus (kiri) dan adiknya Haziq Fadilah melihat keratan akhbar mengenai kes penahanan bapa mereka di rumah mereka di Pontian Besar, semalam.

PONTIAN 11 Jun – Mahkamah Tinggi Pekan Baru, Indonesia mengekalkan hukuman penjara 30 bulan ke atas enam nelayan tempatan dan seorang warga negara Indonesia yang menceroboh perairan negara tersebut pada 8 Mac lalu. Ia sekali gus menolak rayuan yang dikemukakan setelah Mahkamah Bengkalis pada 5 Mei lalu menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas mereka, selain denda RM350 ribu atau berdepan tambahan hukuman penjara tiga bulan. Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, beliau telah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut oleh pegawai di Pejabat Konsul Malaysia di Pekan Baru semalam. “Rayuan mereka seterusnya akan didengar di Mahkamah Agung di Jakarta Isnin ini yang merupakan jalan terakhir sama ada mereka dibebaskan, dikurangkan hukuman atau sebaliknya. “Pihak pembelaan bersama pegawai-pegawai Wisma Putra dan Konsul di Pekan Baru telah mengemukakan bukti serta keterangan bagi menyokong rayuan, namun ditolak oleh pihak mahkamah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Mereka yang dijatuhkan hukuman terdiri daripada tekong, Ibrahim Mohd. Kassim bersama awak-awak kapal, Redzuan Ariss, 35; Mohamad Zamri Hamzah, 26; dan Subani Samsudin, 40, yang juga warga Indonesia. Tiga lagi nelayan adalah dari sebuah lagi bot yang diketuai tekong Zainudin Hamzah, 53, dan awak-awak Rosli Abd. Rashid, 34, dan Jamil Mat Top, 53. Kesemua mereka berpangkalan di Pangkalan Nelayan Pontian Besar di sini ditahan oleh Polis Air (Pol-Air) Republik Indonesia di 12.5 batu nautika dari perairan Senggarang, Batu Pahat pada 8 Mac lalu. Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah, pihaknya berharap Mahkamah Agung negara jiran dapat membuat keputusan yang sewajarnya dan membebaskan mereka supaya dapat pulang menemui ahli keluarga. “Berdasarkan pada hubungan baik kedua-dua negara, pertimbangan hendaklah diberikan, walaupun mahkamah di Bengkalis telah menjatuhkan hukuman ke atas mereka sebelum ini,” ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 2:49 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Hukuman enam nelayan kekal

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]