APMM tahan hampir 400 terlibat jenayah

AHMAD Maslan meninjau tapak landasan bot di Pangkalan Nelayan Ayer Baloi selepas merasmikannya sempena Program Jiwa Murni di Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 16 Julai - Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 8,135 buah kapal dan bot diperiksa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan 393 orang ditahan atas pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kesalahan yang dilakukan termasuk pencerobohan oleh nelayan asing, aktiviti penyeludupan dan kes memperdagangkan manusia.

Menurutnya, dengan menjadi agensi penguatkuasaan tunggal di laut bermula penghujung Ogos ini, APMM akan berupaya memastikan kawasan perairan negara bebas daripada sebarang aktiviti atau perbuatan yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Kerajaan yakin dengan perubahan struktur yang dilakukan dan APPM mampu melaksanakan tugasan tersebut dengan sebaik mungkin pada masa akan datang," katanya selepas merasmikan Program Jiwa Murni di Kampung Ayer Baloi, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Amdan Kurish; Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.

Program selama tiga hari itu melibatkan aktiviti kemasyarakatan serta membina sebuah landasan di Jeti Nelayan bagi kegunaan nelayan untuk menaik dan menurunkan bot bagi membuat kerja-kerja penyelenggaraan.

Pada majlis tersebut, APMM turut menyumbangkan sebuah bot kepada pejabat Ahli Parlimen Pontian yang akan digunakan ketika menghadapi banjir.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, dalam tempoh lima tahun lalu, APMM juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan 2,451 kejadian dan berjaya menyelamatkan 1,916 nyawa.

Beliau berkata, program Jiwa Murni itu merupakan salah satu program sentuhan hati agensi kerajaan bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat sentiasa terbela.

"Saya berharap menerusi program seperti ini, APMM dan golongan nelayan akan menjalinkan kerjasama yang baik kerana kesejahteraan di laut memerlukan komitmen semua pihak," katanya.



Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:08 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for APMM tahan hampir 400 terlibat jenayah

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]