Pembangkang bankrap idea - Ahmad Maslan

SHAH ALAM 21 Julai - Parti pembangkang dilihat semakin terdesak untuk meraih kuasa pentadbiran di negara ini apabila terus-menerus menyerang institusi kerajaan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan pembangkang itu jelas menunjukkan mereka telah 'bankrap idea' dan tidak mempunyai sebarang isu untuk diketengahkan.

Beliau berkata, mereka juga sanggup 'menghalalkan' apa juga bentuk tindakan walaupun melanggar undang-undang seperti menganjurkan perhimpunan haram.

"Inilah taktik mereka sekarang. Mereka menyerang dan memfitnah institusi kerajaan dan sasaran mereka sekarang ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masing-masing dengan tuduhan tidak telus dan zalim.

"Sebelum ini, mereka pernah menyerang institusi kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga Raja-raja Melayu dengan mempertikaikan titah yang dibuat oleh institusi berkenaan.

"Alasan mereka ialah ada campur tangan daripada pihak yang memerintah. Saya ingin tegaskan apa yang dikatakan mereka, tidak semudah itu boleh berlaku," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Pemegang Amanah Yayasan Restu ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara yayasan itu dengan My Events International bagi melaksanakan penganjuran pameran bertaraf antarabangsa pada tahun depan.

Yayasan Restu diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Abdul Latiff Mirasa manakala My Events International diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan.

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan, semua institusi kerajaan mempunyai integriti serta prosedur termasuklah sekatan dan imbangan yang mengambil kira kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhan bukannya parti politik.

"Contohnya pada 2004, BN (Barisan Nasional) kalah satu kerusi dengan majoriti dua undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning di Kelantan.

''Kalau benar BN berpakat dengan SPR, sudah tentu kita boleh tambah tiga undi supaya BN menang di DUN Kemuning, namun itu tidak berlaku. Ini membuktikan perkara negatif yang mereka fikir tentang SPR tidak berlaku," ujarnya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:36 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pembangkang bankrap idea - Ahmad Maslan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]