Isu Perak tidak jejaskan peluang BN

SHAH ALAM 24 Mei - Kemelut politik di Perak tidak akan menggugat peluang Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Manek Urai.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memberi penerangan kepada pengundi di Manek Urai tentang apa yang berlaku di negeri itu agar mereka benar-benar faham dan boleh membuat pertimbangan yang wajar.
Kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, beliau akan pergi ke Manek Urai untuk meninjau persiapan dan menggerakkan jentera penerangan di sana pada Selasa ini.
''Di sana kita akan memberi penerangan tentang tuduhan-tuduhan pembangkang terhadap BN di Perak.
''Antara yang popular ialah tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas diculik, disimpan dan sebagainya yang sering pembangkang sebut dalam ceramah, sedangkan mereka bersama BN atas kehendak sendiri dan kita juga akan menerangkan kedudukan BN di Perak adalah mengikut peraturan," kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perjumpaan Ketua Penerangan Empat Peringkat UMNO Selangor di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukur Idrus.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu ini adalah perjumpaan peringkat negeri yang kesembilan sejak tiga minggu beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO.
Selepas ini, katanya, beliau akan pergi ke tiga lagi negeri yang merupakan kubu kuat UMNO iaitu di Johor, Pahang dan Sabah.
Jelasnya, dalam semua siri perjumpaan beliau akan menerangkan beberapa isu terkini termasuk isu mengapa BN tidak bertanding di Penanti.
''Kita tidak bertanding di Penanti untuk mengelak pembaziran ada beberapa pemimpin Pas yang menjadikannya isu agar kita tidak bertanding di Manek Urai pula.
''Kita sebut pembaziran adalah kerana sepatutnya pilihan raya kecil di Penanti tidak diadakan langsung dan ia sebenarnya merupakan siri untuk membina imej pembangkang. Ia berlainan dengan pilihan raya kecil di Manek Urai kerana ia memang patut diadakan," katanya.
Mengenai harapannya di Selangor, Ahmad meminta jentera penerangan UMNO di negeri ini digerakkan ke tahap paling maksimum bagi membolehkan BN berkuasa kembali.
''Selangor ini negeri BN asalnya dan selamanya dan kita akan pergi ke cawangan-cawangan bagi menjelaskan isu dan dasar sebenar agar rakyat akan membuat pilihan yang tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:13 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Isu Perak tidak jejaskan peluang BN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]