Umno Kelantan minta ahli beri sokongan padu


KUALA KRAI: Umno Kelantan meminta penyokong dan ahli Umno memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Tuan Aziz Tuan Man yang akan menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini. Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata yang penting, semua pihak perlu memastikan kemenangan Tuan Aziz yang bertanding atas tiket BN dan bukan mewakili pihak tertentu dalam parti itu. Beliau berkata, jika semua pihak bekerja keras dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tuan Aziz, usaha memastikan Manek Urai menjadi titik permulaan kepada kebangkitan Umno di Kelantan dan seluruh negara akan menjadi kenyataan.
"Cukuplah Pas memerintah Kelantan 19 tahun, kita nak jatuhkan bulan di Kelantan dan ia seharusnya bermula dengan kemenangan BN," katanya. Ketua Umno Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman, pula berkata Umno bahagian akan memberi sokongan penuh kepada sesiapa saja calon BN. Beliau menegaskan, semua pihak perlu meletakkan agenda parti melebihi kepentingan peribadi dan meminta semua ahli Umno memberikan sokongan padu kepada Tuan Aziz.
"Umno Kuala Krai bertekad menghapuskan arang yang diconteng Pas kepada penduduk Manek Urai menerusi kemenangan pada pilihan raya kecil ini. Oleh itu seluruh jentera dituntut memberi komitmen 100 peratus bagi memastikan hasrat itu tercapai. "Saya juga meminta jentera kita bekerja kuat dengan semangat tinggi serta komitmen tidak berbelah bahagi. Saya percaya pada 14 Julai nanti, BN akan diumumkan sebagai pemenang," katanya. Penduduk Manek Urai yang ditemui turut gembira dengan pemilihan Tuan Aziz dan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang mesra dan mudah didekati. Penduduk Kampung Chuchuh Puteri, Ismail Dollah, 67, menyifatkan pemilihan Tuan Aziz sebagai tepat kerana beliau mesra selain mengambil berat masalah rakyat sepanjang bertugas di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Yuhanis Deraman, 62, dari Manek Urai, pula sangat bersetuju dengan pemilihan Tuan Aziz yang memang dikenali di kalangan masyarakat setempat kerana lama bertugas bersama Kesedar. "Memang sesuai sangatlah beliau dipilih menjadi calon BN. Tuan Aziz adalah individu berjiwa rakyat dan suka menolong orang kampung yang dalam kesusahan. Saya harap dia akan menang pada pilihan raya kecil nanti," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 12:21 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Umno Kelantan minta ahli beri sokongan padu

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]