Bukan kerana pembangkang

KUALA LUMPUR 8 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bukan atas usaha pihak pembangkang di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, banyak pihak dalam UMNO sendiri sebelum ini awal-awal lagi menentang dasar itu.
Menurut beliau, pemansuhan PPSMI adalah satu keperluan setelah wujud bukti yang jelas memperlihatkan ia tidak mampu mencapai objektif pelaksanaannya.
''UMNO Johor sejak mula lagi tidak bersetuju dengan PPSMI. Pembangkang jangan pula kata ini usaha mereka kerana perubahan dasar ini dibuat setelah kajian teliti dan perbincangan dilakukan pelbagai pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pemansuhan PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengadakan lima rundingan meja bulat bagi mendapatkan maklum balas pelbagai pihak terhadap dasar PPSMI.
Tambah Ahmad, kajian yang dilakukan amat teliti dan pemansuhan PPSMI dibuat berdasarkan keperluan.
''Pemansuhan PPSMI dan usaha meningkatkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan kaedah yang diperbaiki adalah bukti kerajaan sentiasa mengkaji sesuatu dasar agar menguntungkan rakyat," katanya.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan turut memperkenalkan pembelajaran satu lagi bahasa sama ada Arab, Mandarin, Tamil, Perancis atau Jepun.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Puad Zarkashi gembira dengan keputusan yang diumumkan kerajaan hari ini kerana menepati pendirian beliau selama ini.
''Keputusan ini membuktikan bahawa kerajaan bertanggungjawab setelah mendapati dasar ini kurang berjaya. Kita mesti berani buat keputusan untuk memperbetulkan keadaan," katanya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran.
Jelas beliau, keputusan memansuhkan PPSMI tidak bersifat politik tetapi berasaskan kepentingan negara.
''Apa yang dibuat adalah berasaskan kajian dan bukan emosi, keputusan kerajaan tidak terburu-buru," katanya.
Puad adalah antara individu dalam UMNO yang lantang menyuarakan keperluan kerajaan mengkaji semula PPSMI sebelum ini.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:39 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Bukan kerana pembangkang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]