Kekalahan Tipis BN Simbol Sokongan Rakyat Kepimpinan Najib
1:59 PM
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kekalahan tipis Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai semalam adalah tanda sokongan rakyat negeri itu kepada perubahan yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kekalahan tipis itu juga merupakan amaran awal kepada parti pembangkang dan dengan sendirinya membuktikan bahawa Umno dan BN masih relevan.Adalah diharapkan pembangkang selepas ini tidak lagi beretorik dengan menjanjikan sesuatu yang belum pasti akan diperoleh pengundi, katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan di sini Rabu.Beliau berkata kemenangan tipis PAS juga merupakan hadiah kepada Perdana Menteri kerana jumlah sokongan pengundi kepada BN telah bertambah dan sokongan yang memberangsangkan itu hendaklah diterjemahkan jika ada pilihan raya kecil akan datang.Ditanya berhubung janji BN kepada pengundi di Manik Urai, menurutnya kerajaan pusat tidak mahu mengetepikan pembangunan di mana-mana kawasan yang tertinggal tetapi penduduknya harus menghargai apa yang telah diberikan dan jangan mempolitikkan apa yang diberikan."Kita berharap agar ada tindak balas yang positif daripada mereka yang menerima sumbangan kerajaan. Jangan diberikan susu tetapi kami (kerajaan) dibalas dengan tuba," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan.Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata kekalahan tipis itu menandakan rakyat Kelantan sudah mula hilang kepercayaan terhadap PAS dan mula menyokong kepimpinan Perdana Menteri."Bagi saya ia merupakan hadiah kepada Datuk Seri Najib kerana rakyat telah mula membuka mata serta sudah kurang percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat."Kita yakin akan dapat menawan kembali Kelantan pada pilihan raya yang akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup penyampaian Sijil Latihan Masakan dan Konfeksionari kepada tenaga pengajar Pusat GiatMara di sini, hari ini.Idris yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata berdasarkan pengamatannya ketika turun padang bertemu rakyat Kelantan, mereka rata-rata menyatakan sudah sedia kembali kepada BN.Pergerakan Puteri Umno pula mahu kerajaan meneruskan program pembangunan yang diuar-uarkan kepada penduduk di Manik Urai walaupun BN tewas pada pilihan raya kecil itu.Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata pelaksanaan pembinaan jambatan sebagai contoh perlu dilaksanakan sebagai membalas jasa penduduk Manik Urai yang melihat perjuangan BN yang jujur dan ikhlas membantu masyarakat."Walau kita tak menang, jambatan tersebut perlu dibina sebagai hadiah kepada masyarakat di Manik Urai yang menunjukkan peningkatan sokongan terhadap kepimpinan Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pra Pelancaran Program Banteras Ragut dan Rogol (B2R) dan Tabung B2R di sini hari ini.Beliau berkata, peningkatan sokongan itu juga menunjukkan rakyat semakin bijak membuat penilaian tentang parti mana sebenarnya yang mampu membela nasib mereka.Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan di sini hari ini berkata penduduk di Manik Urai khususnya mula menyambut baik konsep 1Malaysia dan menyandarkan harapan kepada kepimpinan Umno selain dahagakan pembangunan.Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Umno juga boleh memperbaiki sokongan rakyat jika bergerak secara bersepadu dan terancang."Kerjasama yang baik di kalangan jentera penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno mampu memecahkan kubu lawan dan dalam berpolitik tiada apa yang mustahil."Sekuat mana pun PAS, jika kempen berjalan baik dan rakyat memberi sokongan maka kubu lawan boleh ditembusi juga dan ini memberi motivasi untuk Umno terus mendekati rakyat," katanya.-- BERNAMA
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 1:59 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0