Pengumuman PM Disambut Baik, Bukti 1Malaysia Bukan Cakap Kosong
1:57 PM
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pengumuman 11 berita baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena genap 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri hari ini disifatkan sebagai bukti pendekatan "Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" dalam gagasan 1Malaysia bukan cakap kosong.Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kesemua yang dilakukan Najib adalah semata-mata untuk kebaikan rakyat dan gagasan yang diinspirasikan oleh Najib itu memastikan bahawa rakyat akan diberi tumpuan dan keutamaaan."Beliau tidak langsung berminat untuk cuma cakap kosong dan retorik seperti yang ditunjukkan oleh kepimpinan barisan pakatan pembangkang."Wanita BN akan terus membantu dalam beliau menentukan visi dan misi sebagai Perdana Menteri dan pengerusi BN untuk memperkasakan agama, bangsa dan negara menjadi kenyataan," kata Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno dalam satu kenyataan.Sementara itu Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen dan keprihatinan beliau kepada rakyat serta menjadikan slogan "1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan" menjadi kenyataan."Kita dapat lihat hari ini PM sudah umumkan 11 lagi berita baik kepada rakyat dengan menumpukan kepada memberi manfaat kepada rakyat. Inilah yang kita katakan dasar-dasar yang digaris PM adalah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan," kata Liow yang juga Menteri Kesihatan.Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana meluluskan permohonan parti itu untuk mendapatkan peruntukan tambahan di bawah Tekun."Pada mulanya, peruntukan itu adalah RM3 juta tetapi kami meminta supaya ia dinaikkan kepda RM10 juta. Perdana Menteri sebaliknya memberikan peruntukan RM15 juta," katanya.Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan pula berkata dalam masa 100 hari, Perdana Menteri berjaya menjana semangat dan harapan baru kepada rakyat di negara ini dengan gagasan 1Malaysia untuk semua kaum di serata pelusuk negara.Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyifatkan Najib sebagai seorang negarawan yang mementingkan masa depan dan bersikap terbuka ke arah usaha perpaduan politik walau pun ia masih terbantut.Di KOTA KINABALU, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai beberapa perkara untuk kepentingan negeri dan rakyat Sabah termasuk mengatasi masalah sijil kelahiran, jalan raya di luar bandar ditambah dari 750km kepada 1,500km dan meningkatkan pembekalan air jelas menterjemahkan semangat 1Malaysia.Beliau berkata Perdana Menteri ternyata mengutamakan kesejahteraan dan membela nasib rakyat."Inilah antara isu yang sering disuarakan rakyat Sabah dan sebagai pemimpin kerajaan yang berjiwa rakyat, Perdana Menteri bukan sahaja mendengar bahkan bertindak untuk mengatasi masalah rakyat," katanya.Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Pang Yuk Ming menyifatkan pengumuman Perdana Menteri untuk meningkatkan kemudahan jalan raya dan bekalan air di Sabah sebagai "bonanza" atau hadiah terbaik kepada rakyat Sabah yang memberikan sokongan padu kepada BN pada pilihan raya umum tahun lepas.Beliau berkata peruntukan tambahan untuk melaksanakan projek jalan raya dan bekalan air memang wajar diberikan kepada Sabah memandangkan negeri berkenaan masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kemudahan di Semenanjung.Sementara itu, naib presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Cyril Yansalang turut menyambut baik pengumuman berita gembira untuk rakyat Sabah.Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan Pusat berhati-hati berhubung isu yang membabitkan pendaftaran kelahiran di Sabah."Harus diingat Sabah masih dibebani dengan masalah pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai dokumen yang sah. Ramai juga pendatang yang sudah pun memiliki MyKad dengan pendaftaran lewat kelahiran," katanya.Di KUCHING, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan berkata 11 langkah mesra rakyat yang diumumkan Najib, termasuk tambahan pembinaan jalan raya dan meningkatkan bekalan air serta elektrik di Sabah dan Sarawak akan merapatkan jurang pembangunan bandar-luar bandar di kedua-dua negeri itu."Bagi pihak Sarawak, kami amat gembira kerana Perdana Menteri memahami keperluan kami dengan menyediakan jalan raya, bekalan air dan elektrik yang lebih baik kepada penduduk pedalaman di negeri ini," katanya.Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing menyifatkan pengumuman Perdana Menteri itu sebagai 'satu langkah baik' dan berharap lebih banyak peruntukan akan disalurkan kepada projek kemudahan asas dan menambah baik jalan raya di Sarawak.Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan berkata usaha bersepadu bagi menyediakan kemudahan jalan raya, bekalan air dan elektrik akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak selain meringankan bebanan mereka.-- BERNAMA
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 1:57 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0