Perebutan kuasa 'kabinet bayangan'

KUALA LUMPUR 3 Julai - Tindakan pakatan pembangkang meletakkan tiga nama pemimpin tertinggi mereka di Jabatan Perdana Menteri dalam 'kabinet bayangan' mencerminkan sikap curiga-mencurigai dan obses kuasa di kalangan mereka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pemimpin pakatan pembangkang seolah-olah tidak mahu bertolak ansur dan tidak mahu ketinggalan meletakkan nama mereka di tempat yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri.
"Nampak macam mereka tidak tahu siapa hendak menjaga siapa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas senarai 'kabinet bayangan' pakatan pembangkang yang dikeluarkan di Parlimen semalam.
'Kabinet bayangan' itu meletakkan nama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk 'menjaga' Jabatan Perdana Menteri.
Selain itu, tiga nama dari setiap parti dalam pakatan pembangkang juga dibariskan untuk setiap kementerian yang ada.
Tambah Shafie, kegagalan untuk memperlihatkan secara jelas siapa yang akan menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memerintah secara tidak langsung memperlihatkan bahawa pakatan itu tidak akan mampu menerajui negara ini.
Kata beliau, amat jelas semua pihak dalam pakatan itu sangat berminat dengan jawatan nombor satu negara dan tidak mahu ketinggalan memastikan peluang mereka ke arah itu tidak terjejas.
Menurutnya, situasi di Kedah di mana DAP negeri itu keluar daripada kerajaan negeri pakatan pembangkang juga mencerminkan kedudukan pakatan itu di peringkat nasional.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut mempunyai pandangan sama iaitu tiga nama yang dikemukakan menunjukkan tiada kesepakatan dalam pakatan itu.
Katanya, tindakan itu jelas hanya untuk mengaburi mata rakyat sekali gus mendedahkan betapa tiada kesepakatan di antara para pemimpin pakatan pembangkang.
"Nampak sangat tidak masuk akal. Bayangkan jika ada mesyuarat Kabinet, sebesar-besar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pun tidak mencukupi," tempelaknya.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan pula berkata, apa yang dibuat pihak pembangkang mencerminkan ketidaktentuan dan ketidakpastian kepada situasi politik negara jika mereka berkuasa.
"Tiga nama di Jabatan Perdana Menteri, maknanya siapa yang akan jadi Perdana Menteri kalau mereka berjaya bentuk kerajaan, adakah ia Kit Siang, Anwar atau Abdul Hadi?" soalnya.
Kata beliau, walaupun pakatan pembangkang cuba menafikan apa yang diumumkan mereka itu adalah 'kabinet bayangan,' tetapi ia secara langsung mencerminkan bayangan terhadap kerajaan mereka.
"Pakatan pembangkang adalah satu pakatan rapuh, ini mencerminkan lagi satu contoh kelemahan mereka dan menampakkan wujudnya unsur-unsur berebut kuasa dalam pakatan pembangkang," katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:37 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Perebutan kuasa 'kabinet bayangan'

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]