Beri peluang BN bangun Permatang Pasir

BUKIT MERTAJAM 17 Ogos _ Pengundi-pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir diminta menimbangkan sebaik-baiknya tawaran Kerajaan Pusat untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai 'anak emas' jika calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman memenangi pilihan raya kecil pada 25 Ogos ini.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, tawaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu perlu difikirkan semasak-masaknya oleh para pengundi di Permatang Pasir kerana ia dibuat sekali sahaja tanpa ada peluang kedua.
''Penduduk Manek Urai telah terlepas peluang menikmati pembangunan dan diharapkan penduduk Permatang Pasir tidak mengulangi kesilapan yang sama," katanya selepas mengiringi Rohaizat ke pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini hari ini.
Beliau juga berkata, jika penduduk Permatang Pauh (kawasan Parlimen Permatang Pasir) berasa terhutang budi kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka sudah pun memberi kemenangan kepada beliau dan kini Anwar menjadi Ketua Pembangkang.
''Jika pengundi sayangkan (Setiausaha DAP), Lim Guan Eng, beliau sudahpun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya sambil menambah, kini tiba masanya pengundi memberi peluang kepada BN pula untuk mengotakan janjinya kepada pengundi di Permatang Pasir.
Menurut Ahmad, BN bukan sahaja menjanjikan pembangunan fizikal malah pelbagai kemudahan lain untuk penduduk di situ termasuk menyediakan peluang pekerjaan, pendidikan dan kebajikan yang tidak diberi perhatian oleh pakatan pembangkang.
Katanya, selepas tiga penggal memberi peluang kepada Pas di Permatang Pasir, adalah jelas parti berkenaan tidak mampu membawa pembangunan seperti yang diharapkan oleh rakyat.
''Kecelaruan di kalangan parti pembangkang juga jelas. DAP tidak menghargai Pas kerana tidak ada wakil rakyatnya yang dipilih menjadi Exco di Pulau Pinang begitu juga tidak ada wakil rakyat DAP yang dipilih menjadi Exco di Kedah. Tinggalkan 'pakatan rapuh' ini," katanya.
Kawasan pilihan raya DUN Permatang Pasir mempunyai 20,290 pengundi terdiri daripada 72.4 peratus Melayu, 25.8 peratus Cina, 3.39 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain bangsa.
Pilihan raya berkenaan menyaksikan pertarungan satu lawan satu dengan calon BN, Rohaizat Othman menentang calon Pas, Mohd. Salleh Man.
Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari Pas kerana sakit jantung pada 31 Julai lalu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 3:03 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Beri peluang BN bangun Permatang Pasir

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]