Calon BN disenangi rakyat

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Calon UMNO yang dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir tidak semestinya mereka yang berjawatan dalam parti.
Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemilihan calon adalah berdasarkan nilai keperibadian seseorang dan paling penting disenangi penduduk di kawasan DUN berkenaan.
Beliau berkata, langkah itu perlu kerana BN mahu calon terpilih merupakan pemimpin yang mampu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.
''Kita akan pastikan calon yang akan dipilih nanti merupakan seorang calon yang amat disenangi, diterima dan popular di kalangan rakyat.
''Oleh itu calon yang bakal terpilih tidak semestinya mereka yang ada jawatan dalam parti sama ada UMNO, Wanita, Pemuda atau Puteri. Apa yang penting, kita mengambil kira faktor hubungan antara calon dengan rakyat,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan kursus Pidato Politik anjuran UMNO Bahagian Cheras di Pusat Rekreasi Cheras di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.
Kerusi DUN Permatang Pasir kosong selepas wakil rakyatnya daripada Pas, Datuk Mohd. Hamdan Abdul Rahman, 63, meninggal dunia akibat sakit jantung pagi semalam.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan UMNO Bahagian Permatang Pauh untuk mengenal pasti beberapa calon yang berpotensi.
Selepas itu, katanya, kesemua calon itu akan disenarai pendek untuk diputuskan oleh pucuk pimpinan.
''Nama-nama ini akan diserahkan terlebih dahulu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO.
''Selepas itu, barulah ia diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dimuktamadkan,'' katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:22 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Calon BN disenangi rakyat

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]