Pemecatan boleh jejaskan moral BN

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pemecatan keahlian MCA ke atas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek boleh memberi kesan kepada moral Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan jika tidak ditangani dengan baik.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, apa sahaja isu yang berlaku di kalangan parti komponen BN boleh menjejaskan serba sedikit kepentingan dan imej parti itu.
“Sebagai salah sebuah parti komponen utama di dalam BN, saya harap MCA dapat memberi penerangan yang terbaik kepada parti komponen lain di dalam isu tersebut.
“UMNO bukan bermaksud ingin campur mengenai masalah dalaman parti MCA, tetapi UMNO berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi kebaikan BN,” katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Jawatankuasa Disiplin MCA pada hari ini memecat keahlian Soi Lek berkuat kuasa serta merta.
Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata, keputusan itu dibuat kerana cakera padat digital skandal seks yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.
Tambah Tee Keat, di bawah Artikel 128, sebarang keputusan oleh Jawatankuasa Pusat atas kesalahan disiplin adalah muktamad.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad berkata, UMNO secara dasarnya menghormati keputusan oleh Jawatankuasa Disiplin MCA.
“Bagi saya, keputusan yang dibuat oleh MCA itu boleh memberikan satu imej positif dan satu imej negatif.
“Positifnya yang nampak dilihat ialah mengenai imej parti manakala negatifnya mungkin isu perpecahan (ahli MCA) menjadi persoalan di sini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Ahmad juga memuji keputusan Soi Lek yang tidak akan masuk ke parti lain walaupun telah dipecat keahliannya di dalam MCA.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap MCA dapat menyelesaikan segera krisis kepimpinan parti itu.
“Perlu diingat, MCA berkongsi lambang parti yang sama dengan parti komponen BN semasa pilihan raya, jadi jika mereka mempunyai masalah, UMNO juga akan turut terjejas.
“Saya berharap Jawatankuasa Disiplin MCA telah membuat keputusan yang tepat untuk mengukuhkan partinya dengan pemecatan keahlian Soi Lek daripada menjadi ahli MCA,” jelasnya.
Namun, bagi Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin, beliau yakin masalah dalaman kepimpinan MCA itu tidak akan menggugat keutuhan BN.
“Kita mungkin akan membuat tekaan bahawa akan berlaku perpecahan yang serius, tetapi saya yakin MCA sudah matang menghadapi masalah ini,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:23 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Pemecatan boleh jejaskan moral BN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]