650,000 ahli UMNO pilih pemimpin

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Cawangan dan bahagian UMNO di seluruh negara yang tamat bersidang pada 16 Ogos lalu telah mencadangkan supaya proses pemilihan jawatan di semua peringkat parti ditentukan oleh 60,000 hingga 650,000 perwakilan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan parti berkata, perkara itu merupakan salah satu daripada lima perkara pokok yang telah dicadangkan semasa mesyuarat cawangan dan bahagian berkenaan.
''Sebenarnya terdapat empat pilihan antara angka 60,000 hingga 650,000 perwakilan berbanding 2,600 orang sekarang, tetapi itu saya tidak boleh lebih terperinci kerana bukan hak jawatankuasa ini untuk menentukannya.
''Kita akan bawa di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO minggu depan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) pada 11 September ini. Pertimbangan ini akan melibatkan daripada segi logistik dan sama ada ia sesuai dibuat serentak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan selama kira-kira dua jam di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pindaan berkenaan akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO yang telah ditetapkan dari 13 hingga 16 Oktober ini.
Hishammuddin berkata, perkara pokok kedua yang turut dicadangkan ialah menghapuskan sistem kuota bagi memudahkan ahli bertanding.
''Terdapat juga cadangan daripada cawangan dan bahagian supaya kita meletakkan syarat tertentu yang tidak seketat kuota bagi menguji kesungguhan dan komitmen mereka yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan penting dalam UMNO.
''Contohnya, hendak bertanding Presiden kena pegang jawatan Naib Presiden terlebih dahulu," ujarnya.
Menurut beliau, perkara ketiga ialah cadangan untuk menjadikan UMNO lebih inklusif dengan memastikan ia turut mengambil kira aspirasi dan harapan sayap parti daripada kalangan Wanita, Pemuda dan Puteri.
''Perkara keempat ialah cadangan supaya kita mengurangkan tempoh masa berkempen dan ini boleh dilakukan dengan mengadakan pemilihan serentak di peringkat cawangan, bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi parti.
''Kalau dilaksanakan secara serentak mungkin jumlah perwakilan tidaklah sampai sehingga 650,000 orang dan jika masih mahu, jumlah seramai itu mungkin menyebabkan pemilihan tidak boleh diadakan serentak," katanya.
Kata beliau, perkara kelima ialah untuk memudahkan proses menjadi ahli UMNO dengan membuat pindaan yang berhubung kait dengan yuran dan proses kelulusan untuk menjadi ahli.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, terdapat juga cawangan dan bahagian yang mencadangkan perkara lain melibatkan etika parti yang tidak memerlukan pindaan Perlembagaan sebaliknya hanya kelulusan MT.
Berikutan saluran rasmi mengemukakan cadangan pindaan melalui cawangan dan bahagian telah dilaksanakan, tambah beliau, sebarang syor baru hanya akan dipertimbangkan jika ia betul-betul bernas.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 4:29 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for 650,000 ahli UMNO pilih pemimpin

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]