Dewan Rakyat: Pekerja Asing Di FELDA Miliki Permit Kerja Yang Sah
6:12 PM
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Kesemua pekerja asing yang digaji oleh Felda mempunyai permit kerja yang sah sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dengan agensi tersebut.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata sehingga Disember 2009, Felda mempunyai sejumlah 36,339 tenaga buruh asing yang berdaftar terdiri daripada warga Indonesia (25,320), Bangladesh (10,564), Thailand (192) dan Filipina (263).
"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, setiap pekerja yang dibawa masuk dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan Fomema untuk mengesahkan mereka benar-benar sihat, tidak berpenyakit dan sesuai untuk bekerja sebagai pekerja ladang di ladang-ladang Kumpulan Felda.
"Bagi pekerja yang disahkan gagal dalam pemeriksaan kesihatan (Fomema) mereka akan dihantar pulang ke negara asal secara rasmi," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Che Uda Che Nik (PAS-Sik).
Che Uda mahu Perdana Menteri menyatakan sikap kontraktor-kontraktor bagi Felda dan Felcra yang didapati amat tidak bertanggungjawab apabila menjadi pengguna utama pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini sebagai buruh kerja kontrak mereka.
Beliau yang mendakwa PATI ini menjadi agen pembawa penyakit berjangkit seperti malaria, chikungunya dan sebagainya, juga mahu tahu mengapa hal ini berlaku serta apakah tindakan kementerian untuk mengatasinya.
Ahmad berkata pihak Felda sentiasa memantau kesihatan buruh asing berkenaan dan sepanjang tahun 2009, seramai 180 orang telah dihantar pulang ke negara asal setelah disahkan gagal dalam pemeriksaan kesihatan yang terdiri daripada pekerja Bangladesh (99) dan Indonesia (81).
Katanya, sejak tahun 1990-an Felda telah menggunakan khidmat buruh asing bagi menggantikan tenaga buruh peneroka yang sedia ada.
"Ini disebabkan keadaan peneroka pada masa kini yang sudah berusia dan tidak berupaya untuk mengerjakan kebun dengan sendiri selain keadaan pokok kelapa sawit yang telah tinggi dan menyukarkan mereka melaksanakan kerja seperti menuai, menoreh, kerja-kerja am dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata kerajaan memilih untuk menggunakan khidmat tenaga buruh asing dari negara jiran seperti Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Filipina.
Katanya lagi, fokus diberikan kepada negara-negara yang berhampiran dengan Malaysia bagi memudahkan pengangkutan selain kadar upah yang murah sekaligus dapat menjimatkan kos upah pekerja.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 6:12 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0