Keputusan Hulu Selangor penentu masa depan MIC
11:30 PM
Ahli parti patut gembleng tenaga pastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil 25 April
SAMA ada Datuk G Palanivel atau calon MIC lain mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, parti itu perlu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak kerana mengekalkan status-quo. Kalangan pemimpin semua peringkat dan ahli MIC perlu membuktikan pernyataan terima kasih itu dengan bersatu.
Mereka perlu menghindarkan perpecahan selepas calon yang diumumkan nanti mungkin bukan pilihan mereka. MIC mesti memaparkan semangat kompromi seperti ditunjukkan Umno yang sudah 55 tahun berkorban ‘meminjamkan’ kerusi Parlimen itu kepada rakan parti komponen.
Andai sesama ahli dan pemimpin MIC ada pertikaian mengenai calon daripada kaum mereka sendiri kemudian disusuli ‘protes atau sabotaj’ sehingga hari membuang undi, maka parti itu mendedahkan BN kepada bahaya. Kekuatan MIC di Hulu Selangor agak memberangsangkan. Selain Palanivel menjadi ketuanya, wujud 70 cawangan MIC dengan kira-kira 7,000 ahli. Selain itu, kira-kira 4,000 lagi pengundi kaum India sebahagian besar ahli keluarga ahli MIC. Ini satu kekuatan jika semua undi itu digembleng supaya memangkah calon BN. Umno pula mempunyai 136 cawangan dengan kira-kira 24,000 ahli. Ini juga sejumlah undi yang sangat berpengaruh untuk memangkah BN. MCA dengan 40 cawangan pula mendakwa mempunyai 10,000 ahli. Maknanya daripada kira-kira 64,500 pengundi di situ, kira-kira 41,000 ialah ahli Umno, MCA dan MIC, manakala sebahagian lagi keluarga mereka. Jelas, Hulu Selangor ialah kubu kuat BN 11 penggal (1959-2004) dan kekalahan dengan 198 undi pada pilihan raya umum (PRU) 2008 gara-gara ‘undi protes’ yang tidak dijangka memberi kemenangan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad. Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, berkata keputusan mengekalkan wakil MIC menjadi calon BN adalah tindakan adil berdasarkan fakta. Beliau berkata, ada 64,500 pengundi di situ, masing-masing 63,701 pengundi biasa manakala 799 pengundi pos. Pecahan lebih terperinci, 32,380 pengundi adalah lelaki, manakala 32,120 wanita. “Sebanyak 52.7 peratus pengundi (34,020) ialah Melayu (Umno) dan mereka memperoleh 50 peratus (dua daripada empat) kerusi iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam dan DUN Batang Kali. Pengundi Cina (MCA) pula 16,964 dan memperoleh 25 peratus (satu) kerusi iaitu Kuala Kubu Baharu. “Oleh itu, adalah adil baki 25 peratus (satu lagi kerusi iaitu Parlimen Hulu Selangor) diberi kepada kaum India (MIC) yang mempunyai 12,453 pengundi,” katanya. Ketua Penerangan Badan Perhubungan Umno Selangor, Abdul Shukur Idrus, berkata walaupun desakan kuat daripada akar umbi mahukan calon Umno, Perdana Menteri menunjukkan semangat setia kawan dalam BN. Sesungguhnya, kata beliau, orang Melayu banyak berkorban untuk memberi peluang kepada orang lain dan ‘harapan saya, pengorbanan ini dapat menyatupadukan hubungan baik semua kaum dan menguntungkan generasi akan datang.’ Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah pula menyifatkan sambutan hangat rakyat terhadap dasar yang dipayungi gagasan 1Malaysia adalah modal utama BN. “MCA pula semakin aman. Pendedahan bekas Ahli Parlimen PKR pula membuka mata semua pihak. Justeru, BN berada di landasan yang amat baik. Malah, 2010 adalah tahun pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Ekonomi Baru dan tidak lama lagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10. Negara perlu bergerak ke hadapan, bukan terus dihambat politiking pembangkang,” katanya. Ketua Pemuda MIC, T Mohan, berikrar menghantar anak buahnya dari Pusat untuk menggerakkan kempen di kalangan pengundi muda kaum India dan menjalankan kempen dengan lebih fokus. Naib Ketuanya, V Mugilan, 35, pula pasrah sesiapa saja yang bakal mewakili MIC sebagai calon BN. Beliau antara nama yang disebut-sebut dan disifatkan kalangan tempatan sebagai layak diketengahkan. Anak tempatan lulusan jurusan Sains Sosial dari Universiti Malaya itu mungkin wajar diberi perhatian. “Selaku Ketua Pemuda MIC Hulu Selangor, kami akan menggerakkan jentera membantu jentera utama BN bagi memenangkan sesiapa saja calon MIC,” katanya. Jelas, apa yang dituntut ialah pemimpin ketiga-tiga parti itu mesti bekerja keras untuk memenangi hati ahli parti dan akar umbi masing-masing. Melalui kerjasama dan strategi bersepadu ketika kempen, tiada keraguan untuk BN menang. Rekod baik BN selama 11 penggal sejak 1959 dan rekod buruk PKR sejak dua tahun lalu adalah perbandingan paling ketara untuk pengundi nilaikan. BN sudah menggerakkan jentera kempen. Ketiga-tiga parti komponen menggembleng kekuatan semua kepemimpinan tertinggi parti, negeri dan jentera parti bahagian di Selangor untuk menjaga kawasan ditetapkan. Ada 45 daerah mengundi di Parlimen Hulu Selangor dan dua lagi baru diwujudkan untuk pilihan raya kecil kali ini. Cuma beberapa taman perumahan di sekitar Rawang dijangka diberi fokus berikutan undi kepada BN di situ merosot sedikit pada pilihan raya umum lalu. Dengan latar belakang sosioekonomi yang sedikit berbeza dengan penduduk kawasan kampung tradisional, taman perumahan itu kebanyakan dihuni pengundi yang ‘lebih terdedah’ kepada perhubungan media sosial yang pada 2008 digembleng habis-habisan oleh parti pembangkang. Seperkara mesti diberi perhatian ialah peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu menggariskan kaedah pengendalian keseluruhan proses pilihan raya itu bermula 17 hingga 25 April ini, dengan tegas, sistematik serta memuaskan hati semua pihak. Seorang penganalisis politik yang enggan disiarkan namanya menyarankan SPR dan pihak berkuasa berkaitan perlu lebih tegas serta tangkas. Usaha mengawal supaya tidak tercetus insiden buruk perlu diketatkan. Sekiranya tercetus sesuatu insiden yang dikesan berpotensi menimbulkan ketegangan, tindakan segera dan pantas perlu diambil. “Sama ada tokoh politik atau pasukan kempen, mereka perlu lebih bersikap bertanggungjawab kepada hal yang lebih besar, yang rapuh seperti perpaduan dan kestabilan,” katanya.
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 11:30 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0