Penuntut UTM tabur bakti

PONTIAN 21 April - Pepatah Melayu ada menyatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Perumpamaan itu cukup membawa pengertian besar kepada penduduk Kampung Parit Abdul Rahman apabila menganjurkan Program Khidmat Mahasiswa Bersama Masyarakat baru-baru ini walaupun pertama kali melaksanakannya.

Program anjuran bersama dengan Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut didokong Pejabat Ahli Parlimen Pontian dan UMNO Cawangan Parit Abdul Rahman.

Program bertema 1Malaysia, 1Parlimen, 1UTM itu melibatkan 100 penuntut yang bertujuan membentuk minda mahasiswa yang kreatif dan inovatif seiring dengan kemajuan masyarakat desa.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sambutan, Zakaria Misnan, pihaknya turut menawarkan beberapa penduduk di kampung berhampiran iaitu Kampung Parit Bugis, Kampung Tanjung Air Hitam, Kampung Parit Lama dan Kampung Parit Basilam untuk menjadi keluarga angkat kepada peserta tersebut.

"Kami bersyukur atas sokongan dan kerjasama termasuk daripada jiran-jiran supaya program dapat berjalan dengan lancar walaupun ada kelemahan dan kekurangan," katanya pada majlis penutupan oleh Penyelia Kanan Kemas Parlimen Pontian, Muhamaddan Ahmad.

Sebelum itu, majlis penyerahan peserta kepada keluarga angkat dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong, manakala perasmian oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam bersama Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

Kehadiran peserta juga diharap menjadi pemangkin dan rangsangan kepada anak- anak keluarga angkat untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

"Begitu juga kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat bimbingan dan motivasi daripada abang dan kakak angkat mereka," kata Misnan.

Bagi Pengarah program, Mohd. Asnawi Abd. Wahab, 22, beliau gembira kerana penduduk Kampung Parit Abdul Rahman sudi menerima kehadiran mereka.

Katanya, program itu memberi fokus kepada khidmat bioteknologi, khidmat teknologi maklumat (IT), pameran pendidikan, forum mini dan sukan rakyat bersama penduduk kampung.

"Kami juga disajikan dengan pelbagai makanan enak dan lazat termasuk nasi ambang yang menjadi makanan tradisi masyarakat jawa," katanya.

Beliau berharap program itu dapat memberikan input yang berguna kepada peserta untuk bersama-sama menjadi ejen perubahan kepada masyarakat setempat.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:29 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Penuntut UTM tabur bakti

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]