Kampung Parit Abas dapat surau baru

PONTIAN 5 Mei - Kira-kira 300 penduduk Kampung Parit Abas, Benut dekat sini, bersyukur kerana impian mereka untuk mendapatkan surau baru akhirnya tercapai. Surau baru yang dibina dengan kos RM200,000 itu telah siap dibina pada awal tahun ini bagi menggantikan surau lama yang uzur.

Pengerusi Surau An-Nur, Mohd. Hashim Hussin, 52, berkata, peruntukan bagi membina surau tersebut diterima daripada Unit Penyelaras dan Pelaksanaan (UPP) Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, dengan terbinanya surau tersebut diharap dapat memberikan keselesaan kepada para jemaah semasa beribadat serta menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

"Bagi pihak penduduk saya merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang telah membantu mendapatkan peruntukan bagi membina surau ini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis perasmian surau tersebut di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan 2 Mukim Benut, Fadil Mustan berkata, pembinaan surau baru itu amat bertepatan memandangkan yang lama telah berusia 40 tahun.

"Sebagai ketua kampung, saya mengalu-alukan pembinaan surau ini yang akan melengkapkan lagi kemudahan awam kepada penduduk di Kampung Parit Abas ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad berharap penduduk setempat dapat mengimarahkan surau dengan kegiatan dan aktiviti yang dapat memperkukuhkan lagi hubungan sesama mereka.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha memenuhi segala permintaan yang dikemukakan oleh orang ramai yang memerlukan kemudahan asas lebih baik di tempat mereka.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 10:46 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Kampung Parit Abas dapat surau baru

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]