Dewan Rakyat: 542 Anggota, Tujuh Kapal Digunakan Di Wilayah Maritim Utara

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Seramai 542 anggota bersama tujuh buah kapal, 16 buah bot laju dan tiga bot biasa digunakan bagi memastikan Wilayah Maritim Utara yang berkeluasan 24,996.7 batu nautika persegi terkawal, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Katanya pesawat udara turut digunakan bagi membuat rondaan di kawasan perairan yang amat strategik tersebut, merangkumi perairan dari Sabak Bernam, Selangor hingga ke garisan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi, Kedah.

Beliau berkata bagi memastikan keselamatan wilayah tersebut terjamin, aset-aset agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa berada di kawasan itu sama ada untuk melaksanakan rondaan ataupun operasi khas.

"Semua aset ini sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk menangani apa juga keperluan sepanjang masa untuk memberi bantuan sama ada kepada nelayan, kapal dagang, perahu, kapal layar ataupun pesawat demi menjaga keselamatan perairan negara," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Tee Beng (Bebas-Nibong Tebal) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, isnin.

Tan memohon penjelasan mengenai maksud keberkesanan maritim di Wilayah Utara dan jumlah bot laju serta pegawai yang bekerja di sana selain kepantasan mereka bertindak untuk membantu nelayan yang memerlukan bantuan.

Mengenai kepantasan bertindak, Ahmad berkata piagam APMM menetapkan bot perlu bertindak dalam masa tidak lebih dari 30 minit setelah maklumat diterima, manakala bagi kapal pula tidak boleh melebihi dari dua jam.

Beliau berkata memandangkan kawasan Wilayah Maritim Utara adalah luas dan bersempadankan tiga negara iaitu Malaysia-Indonesia dan Thailand serta menjadi pintu masuk dan keluar Selat Melaka, ia dibahagikan kepada tiga kawasan merangkumi Daerah Maritim satu, dua dan tiga.

Ahmad berkata pejabat pentadbiran Wilayah Maritim Utara sebagai pusat pentadbiran bagi wilayah utara diletakkan di Langkawi, Kedah bersama Daerah Maritim satu dengan Daerah Maritim dua dan tiga masing-masing beroperasi di Pulau Pinang dan Lumut di Perak.

Menurutnya bagi memastikan aktiviti pengawasan berada di tahap terbaik, beberapa pusat operasi lebih kecil yang dikenali sebagai Pangkalan Maritim turut diwujudkan di Kuala Perlis, Kuala Kedah dan Kuala Kurau.

"Aset-aset di daerah dan pangkalan berkenaan dapat memudah dan mempercepatkan aturgerak vessel dan pesawat APMM di mana-mana lokasi dalam kawasan tersebut apabila diperlukan," katanya.

Sepanjang tahun lepas, APMM melakukan pemeriksaan ke atas vessel sebanyak 2,708 kali dengan 194 kesalahan pelbagai kes dicatatkan dan dalam tempoh itu juga, sejumlah 22 kes mencari dan menyelamat dilakukan dengan 74 orang berjaya diselamatkan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 11:01 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Dewan Rakyat: 542 Anggota, Tujuh Kapal Digunakan Di Wilayah Maritim Utara

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]