Utusan: Felda saman Suara Keadilan




Felda saman Suara Keadilan

KUALA LUMPUR 25 Jun – Felda akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Keadilan, akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa pemimpin parti itu kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, empat artikel yang disiarkan dalam akhbar itu bagi edisi bertarikh 22 hingga 29 Jun merupakan satu tuduhan yang tidak berasas.
“Kita tidak akan berdiam diri apabila berita seumpama ini dilaporkan. Felda telah mendapatkan khidmat nasihat guaman dan akan memfailkan saman,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Perdana Felda di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab dan Timbalan Pengarah Besar Pengurusan dan Kewangannya, Suhaimi Zainuddin serta 22 Ketua Peneroka Felda dari seluruh negara.
Akhbar Suara Keadilan pada 22 hingga 29 Jun itu menyiarkan berita utama muka hadapannya dengan tajuk Felda Bankrap dan empat lagi artikel berkaitan dalam keluaran sama.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, empat pemimpin pembangkang yang akan disaman ialah Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Wahid Endut.
Turut akan disaman ialah pemilik permit akhbar dan ketua pengarang akhbar berkenaan.
“Kita juga akan menyaman wartawan yang terlibat dengan penulisan berita itu,” katanya.
Dalam sidang akhbar itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan, walaupun tunai Felda berkurangan sebanyak RM2.73 bilion daripada RM4.08 billion pada 2004 kepada RM1.35 billion pada 2009, namun aset tetap dan semasa telah bertambah.
“Pada 2004, aset semasa dan tetap Felda ialah RM6.2 bilion dan telah melonjak kepada RM15.37 bilion pada tahun lalu.
“Selain itu, Felda juga mempunyai pelaburan di luar negara iaitu Indonesia, Afrika Selatan, China, Turki, Amerika Syarikat (AS), Australia, Arab Saudi dan beberapa negara lagi,” katanya.
Ahmad menjelaskan, Felda adalah antara pemilik ladang terbesar di dunia dengan memiliki 340,000 hektar ladang yang menghasilkan keuntungan bersih purata RM1.1 bilion setahun dalam tempoh enam tahun lalu.
“Felda disokong oleh kumpulan pekerja yang besar untuk melicinkan operasinya dengan seramai 23,000 kakitangan peringkat pengurusan dan 40,000 penoreh serta mampu membayar gaji sendiri,” katanya.
Pada sidang akhbar itu, Ahmad menjelaskan, setiap tahun laporan kewangan Felda akan diaudit oleh Ketua Akaun Negara dan audit bebas.
“Seterusnya, laporan itu akan diberikan kepada semua ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan oleh itu tidak timbul soal audit tidak tepat,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan gambaran itu, jelas tidak menunjukkan Felda sedang berhadapan dengan masalah kewangan seperti yang disiarkan akhbar tersebut.
Ditanya faktor sebenar pembangkang menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan Felda, Ahmad memberitahu, mereka sebenarnya dengki kerana kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membawa Felda hingga ke peringkat antarabangsa.
“Kita semua tahu Felda merupakan kubu (BN) dan sudah pasti pembangkang akan menyerang habis-habisan,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 7:40 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Utusan: Felda saman Suara Keadilan

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]