Raja dekati rakyat melalui KMJ 2

Raja dekati rakyat melalui KMJ 2


ABDUL Ghani Othman melepaskan kumpulan bermotosikal Kembara Mahkota Johor Fasa 2 yang diketuai Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Pontian, semalam. – mingguan/Baazalan Ibrahim


PONTIAN 7 Ogos – Kembara Mahkota Johor (KMJ) Fasa 2 yang diketuai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar depan bermotosikal ke lapan daerah memulakan penjelajahan hari ini.

Pelepasan KMJ tersebut yang meliputi jarak perjalanan sejauh 775 kilometer disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman di bangunan pejabat baru Majlis Daerah Pontian (MDP) di sini pagi ini.

Selain daerah ini, KMJ akan menjelajah ke daerah Batu Pahat, Muar, Ledang, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sebelum memulakan penjelajahan, Sultan Ibrahim berkenan merasmikan bangunan pejabat baru MDP yang menelan kos RM10 juta termasuk bangunan lama yang diubah suai bermula pada 2008 dan siap sepenuhnya awal tahun ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abd. Latiff Yusof; Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Kukup, Datuk Md. Othman Yusof serta Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A. Karim.

Abdul Ghani dalam ucapannya memberitahu, sejak KMJ dimulakan pada 2001, ia telah merapatkan hubungan antara institusi raja dengan rakyat melalui aktiviti yang dijalankan.

Pada masa sama, ia juga menjalin kerjasama antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendekati rakyat di setiap destinasi yang dikunjungi.

“Ia bukti kesungguhan institusi raja mendekatkan lagi hubungan dengan pelbagai lapisan masyarakat serta mengenali kehidupan mereka dengan lebih dekat,” ujarnya.

Sementara itu, ketibaan rombongan Sultan Ibrahim yang diiringi Tunku Ismail Ibrahim menunggang motosikal berkuasa tinggi kira-kira pukul 10 pagi di Kampung Permatang Sepam, Benut disambut meriah oleh kira-kira 1,000 penduduk pelbagai lapisan walaupun dalam keadaan hujan renyai.

Baginda dan Tunku Mahkota Johor turut berkenan beramah mesra dengan penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim, fakir miskin dan warga emas.

Sultan Ibrahim turut mencemar duli merasai pengalaman memetik buah nanas dan kopi serta melawat kilang memproses kordial nanas dan roselle yang diusahakan oleh penduduk kampung berkenaan menerusi Ladang Kelompok Arep Maju sejak 15 tahun lalu.

Pada hari pertama KMJ Fasa 2, rombongan diraja itu menjelajah ke daerah Batu Pahat dan Muar sebelum menyambung perjalanan ke Ledang, Kluang dan Mersing. KMJ Fasa 2 akan mengakhiri penjelajahan di Kota Tinggi Isnin ini.

Pada KMJ 2010 selama tiga hari bermula 26 Jun lalu, Sultan Ibrahim memandu kereta api untuk menjelajah ke beberapa daerah di negeri ini.

KMJ 2010 merupakan kembara pertama baginda sejak dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lalu.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:04 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Raja dekati rakyat melalui KMJ 2

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]