FELDA tetap bayar wang tanam semula kepada peneroka
8:44 PM
2010/10/07
KUALA LUMPUR: FELDA tetap akan membayar wang Tabung Tanam Semula kepada mana-mana peneroka yang menjalankan penanaman secara sendiri, asalkan mereka mematuhi garis panduan dan syarat yang ditetapkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata justeru peneroka tidak perlu bersusah payah menggunakan khidmat peguam dan mahkamah bagi menuntut bayaran itu kerana tindakan itu hanya akan merugikan mereka. "Jangan saman, kalau saman, saudara (peneroka) rugi kerana kena bayar peguam. Orang yang tidak saman pun akan dapat juga (wang tanam semula) dan orang yang saman pun akan dapat juga.
"Selain itu, dia kena bayar pula kos peguam, untuk apa?" katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu adalah Pengerusi FELDA, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Timbalan Pengarah Besar FELDA, Suhaimi Zainuddin.
Beliau mengulas mengenai laporan dalam sebuah akhbar baru-baru ini mengenai tuntutan yang meminta FELDA membayar pampasan sebanyak RM261.8 juta kepada 11,000 peneroka yang melaksanakan penanaman kelapa sawit secara sendiri.
Katanya, laporan yang dibuat akhbar berkenaan mengelirukan kerana FELDA telah dan sedang membayar mana-mana peneroka yang membuat penanaman semula secara sendiri dan mengikut garis panduan yang ditetapkan.
FELDA mempunyai 112,635 peneroka dengan 14,882 atau 13.2 peratus daripadanya merupakan peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka.
Dalam pada itu, Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu-isu yang timbul berkaitan FELDA.
Pengerusinya, Tan Sri Rozali Ismail dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa khas seramai 30 orang itu dianggotai oleh golongan profesional seperti peguam, doktor, pakar ekonomi, ahli perniagaan dan badan bukan kerajaan yang terdiri daripada generasi baru FELDA.
"Jawatankuasa ini berperanan untuk mengkaji serta menilai permasalahan yang timbul serta membantu meredakan ketegangan ekoran salah faham di antara peneroka dan FELDA," katanya. - BERNAMA
Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan
on 8:44 PM.
Filed under
.
You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0
Datuk,
Akhir-akhir ini kes saman menyaman para peneroka terhadap FELDA semakin banyak.
Secara tidak langsung ia telah mengikis kepercayaan rakyat terhadap FELDA.
Saya mencadangkan agar FELDA mesti kerap bertemu warga peneroka agar isu-isu
yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan berkesan.
Kita tidak mahu ada pihak yang cuba menangguk di air keruh. Mereka meniup provokasi
dan propaganda melalui media mereka dan media baru.
Saya juga menyambut baik tindakan proaktif GWGF yang diketuai oleh TS Rozali. Beliau
amat prihatin dan cekap dalam mengendalikan isu FELDA. Tahniah!
Teruskan menunaikan amanah rakyat, agama dan negara Datuk!