Nafi dakwaan Felda kalah kes saman peneroka

Nafi dakwaan Felda kalah kes saman peneroka

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Kerajaan menafikan dakwaan Persatuan Anak- Anak Peneroka Felda (Anak) bahawa agensi itu kalah dalam kes saman 10 peneroka Sungai Koyan 2 dan 3 di Mahkamah Tinggi Kuantan baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan (gambar) berkata, sebaliknya keputusan mahkamah itu mengesahkan garis panduan yang dilaksanakan Felda selama ini berhubung pembayaran wang tanam semula.

Katanya, ini apabila mahkamah menetapkan yang kumpulan peneroka terbabit berhak menanam semula tanpa melalui Felda dan berhak mendapat bayaran RM1,700 setiap 0.4 hektar dengan syarat mereka mematuhi prosedur Felda.

"Justeru kenyataan Presiden Anak, Mazlan Aliman dalam akhbar rasmi Pas, Harakah bertarikh 4 hingga 7 Oktober lalu dengan tajuk "Felda Kalah Lagi" adalah tidak tepat.

"Kalau Felda kalah, sudah tentu rayuan akan dibuat sebaliknya keputusan mahkamah itu dengan jelas menyatakan peneroka hanya berhak dapat tuntutan mereka jika patuh kepada prosedur Felda.

"Jadi, tindakan saman itu hanya merugikan mereka kerana terpaksa membayar khidmat peguam. Kalau mereka tak saman pun, kita tetap bayar," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Mazlan, antara lain dilapor berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu juga bermaksud Felda perlu menyerahkan RM261.8 juta wang pampasan.

Ditanya adakah Felda akan mengambil tindakan saman terhadap Harakah dan Mazlan sama seperti yang dilakukan terhadap Suara Keadilan, Ahmad berkata, perkara itu tidak perlu.

Malah, menurut Ahmad, tiga daripada sembilan peneroka itu telah mula menerima bayaran semula daripada Felda kerana mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Antara garis panduan tersebut ialah siap kerja menebang dan meracun pokok tua sehingga reput ke pangkal, siap membaris supaya memperoleh 55 pokok tapak tanaman seekar (0.4 hektar).

"Mereka juga perlu siapkan kerja menanam dan menyulam serta membersihkan kebun dan buat kawalan perosak sebelum dibayar jumlah yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jumlah 14,000 peneroka Felda yang mengurus sendiri ladang sebelum ini telah berkurangan kepada 9,000.

Katanya, ini kerana usaha memujuk yang dilakukan Felda melalui pemberian pelbagai bantuan lain telah menarik mereka untuk kembali bersama Felda.

Sementara itu, Mohd. Yusof berkata, 80 peratus daripada 112,635 peneroka yang memilih untuk bersama Felda membuktikan bahawa sistem yang dipraktikkan oleh agensi itu mendapat kepercayaan golongan peneroka.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:38 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Nafi dakwaan Felda kalah kes saman peneroka

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]