BN Anggap Setiap Undi Punyai Nilai Penting Untuk Kemenangan Di DUN Tenang

LABIS, 21 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata setiap undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mempunyai nilai yang sama penting bagi menentukan kemenangan atau kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) dan bukannya tertumpu pada undi sesuatu kaum mahupun jantina. Tegasnya tiada satu pun undi disebut sebagai undi penentu dan cakap-cakap mengenainya hanya menyebabkan sesetengah pihak akan berasa kecil hati. “Kita kena jaga. Jangan kata mana undi lebih penting kerana semua undi adalah penting. Undi peneroka Felda, undi pengundi kampung tradisi, kaum Cina, Melayu, India, generasi muda atau tua mahupun Orang Asli semuanya mempunyai nilai yang sama penting dan merupakan undi penentu. “Wanita jangan kata undi dia penting daripada lelaki. Melayu jangan kata undi mereka penting daripada Cina kerana kalau Cina tidak mengundi, BN akan kalah. Kalau Cina pula kata mereka adalah undi penentu, Melayu nanti tidak undi BN. Jadi, semua pihak adalah penting termasuk Orang Asli,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis ramah mesra bersama peneroka Felda, di Felda Tenang, di sini, hari ini. Katanya beliau yakin pembangkang akan memainkan pelbagai isu pada pilihan raya kecil itu nanti termasuk isu Felda, isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd dan penggantungan empat anggota parlimennya bagi mengelirukan pengundi di kawasan tersebut. Empat anggota Parlimen pembangkang yang digantung kehadiran mereka di persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, Karpal Singh anggota Parlimen Bukit Gelugor, Azmin Ali (Gombak) dan R. Sivarasa (Subang). Ahmad berkata beliau bersama seluruh jentera BN dan UMNO akan turun padang dengan mengadakan sesi penerangan kepada semua pengundi di kawasan berkenaan mulai hari ini. Katanya, pihaknya juga akan memberikan tumpuan kepada tiga penempatan Felda di kawasan DUN Tenang iaitu Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang yang mempunyai seramai 4,000 pengundi. “Jentera kita bersiap sedia mempertahankan ketiga-tiga Felda ini yang merupakan kubu kuat BN. Saya akan berkampung di ketiga-tiga tempat ini dan akan memperjelaskan isu yang diputar belit.

“Pokok pangkalnya, kita sentiasa membela peneroka dan generasinya. Kita sudah berjaya mengeluarkan generasi pertama daripada kemiskinan tegar dan sekarang ini Felda akan terus membantu generasi kedua dan ketiga dengan memberikan pelbagai kemahiran bagi meneruskan kehidupan. “Kita tidak lagi memberikan ikan kepada mereka tetapi kita ajar mereka cara mengail ikan,” jelasnya. Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, Jumaat lepas. Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12, 2008 apabila menewaskan calon Pas, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 1:13 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for BN Anggap Setiap Undi Punyai Nilai Penting Untuk Kemenangan Di DUN Tenang

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]