Anwar terus jadi 'raja putar alam' memiliki bukti mengaitkan Apco

LABIS 23 Jan. - Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memperlihatkan dirinya sebagai 'raja putar alam' apabila terus mencanang kononnya memiliki bukti mengaitkan Apco Worldwide dengan gagasan 1Malaysia dalam ceramahnya pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di sini malam tadi. Namun, Ketua Pembangkang itu hanya sekadar menunjukkan beberapa helai kertas yang kononnya merupakan dokumen antara Apco dan kerajaan Malaysia serta cuba mengaitkannya dengan slogan One Israel dengan 1Malaysia. Apa yang meragukan, sehingga tamat ceramahnya yang berlangsung kira-kira 30 minit di hadapan kira-kira 200 penyokong, Anwar langsung tidak membacakan kandungan dokumen itu. Anwar sebenarnya hanya berani berhujah kosong mengenai perkara itu yang dijajanya sejak dulu lagi tetapi gagal mengemukakan bukti. Malah, sehingga kini walaupun telah dicabar beberapa kali supaya membuktikan dakwaannya itu, Anwar masih gagal menyerahkannya kepada Parlimen walaupun diberi tempoh yang cukup. Ekoran kegagalan menyatakan bukti itu, beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan menyebabkan Anwar digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 16 Disember lalu. Ketika diminta mengulas perkembangan terbaru itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sekali lagi mendesak Anwar supaya terus sahaja mengemukakan bukti jika masih mahu mempertahankan hujahnya. Beliau juga mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya menyerahkan mana-mana dokumen berhubung dakwaan tersebut ke Parlimen, bukannya sekadar membuat pendedahan meragukan di atas pentas ceramah politik. "Saya cabar dia (Anwar) sekali lagi supaya keluarkan bukti, kalau anak jantan buktikan (dakwaan itu), kenapa perlu bercakap di pasar malam (ceramah politik)? "Saya tunggu. Kalau ajak bahas dalam Parlimen dia tak berani, lari bila cakap isu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam ceramahnya di Taman Gunung Emas di sini malam tadi, Anwar mendakwa 1Malaysia mempunyai kaitan dengan One Israel sambil menunjukkan beberapa helai kertas yang didakwanya perjanjian Apco dengan kerajaan Malaysia. Mohamed Nazri berkata, perkara berkenaan jelas tidak bertanggungjawab dan dilakukan semata-mata untuk meraih sokongan dan mengelirukan rakyat. Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Anwar sebagai 'raja rekod, dokumen dan bukti' namun sehingga kini gagal mengemukakan bukti yang dicanangnya selama ini. "Kajilah ucapan dia, frasa seperti rekod, dokumen dan bukti memang menjadi kegemarannya sedangkan rekod, dokumen dan bukti tidak ada pun. Apabila diberi peluang untuk menjawab di Dewan Rakyat, dia tak jawab pun. "Semua itu hanya cerita dia sahaja. Apco pun menafikan pertalian dengan One Isreal dan 1Malaysia," katanya di sini hari ini. Beliau berharap orang ramai khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang tidak termakan temberang sedemikian. Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Shamsul Bari Jamali pula berkata, Anwar sepatutnya mengadakan sidang akhbar bukannya bercakap di pentas ceramah sekiranya benar-benar mempunyai dokumen yang mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:43 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Anwar terus jadi 'raja putar alam' memiliki bukti mengaitkan Apco

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]