Calon Pas tidak gugat BN

MELAKA 25 Feb. - Keputusan Pas tidak meletakkan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau memberi lebih peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi itu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, jika Pas meletakkan Tuan Ibrahim sebagai calon di Kerdau, BN sudah semestinya berdepan saingan sengit.

"Cakap-cakap orang, BN akan hadapi saingan sengit di DUN Kerdau berbanding DUN Merlimau.

"Tetapi, apabila Pas mencalonkan Hassanuddin Salim yang pernah tewas pada Pilihan Raya Umum 2008 di Kerdau, ini memberi lebih peluang kepada BN untuk menang.

"Begitu juga di Merlimau apabila Pas menyandarkan harapan kepada Timbalan Yang Dipertua Pas Jasin, Yuhaizad Abdullah sebagai calon dan ini juga menjadi faktor membantu BN menang di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bicara Penerangan bersama jentera penerangan daripada lapan UMNO bahagian Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Terengganu yang juga Exco Kerajaan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dua calon BN iaitu Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad bertanding di Kerdau dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jasin, Roslan Ahmad jauh lebih baik daripada dua calon pembangkang itu.

Katanya, masyarakat di dua kawasan lebih mengenali dua calon BN berbanding calon pembangkang.

"Calon-calon kita berkaliber dari segi pengalaman kerja, parti, pendidikan, hubungan dengan orang ramai dan sejarah perjuangan mereka.

"Saya tidak mahu cakap besar tetapi jika dibuat perbandingan antara calon BN dan Pas, cukup jelas calon-calon kita nyata lebih berkaliber untuk menjadi wakil rakyat di kedua-dua kawasan tersebut," ujarnya.

Ahmad berkata, BN tidak kisah siapa yang dicalonkan oleh Pas kerana apa yang penting jentera BN telah bersedia untuk menghadapi dua pilihan raya serentak itu.

Katanya, dengan adanya sokongan dan bantuan tersebut, rakyat di Merlimau dan Kerdau akan terus dibantu dan tidak terpinggir daripada menikmati arus pembangunan.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:46 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Calon Pas tidak gugat BN

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]