Jentera BN Siap Untuk Gempur Merlimau
2:42 AM
MERLIMAU, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan menggesa masyarakat segenap lapisan agar terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) khususnya menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac depan.
Katanya, sokongan dari semua pihak akan mampu memberikan kemenangan besar kepada BN sebagaimana yang telah dilakukan dalam PRK Tenang.
“Saya yakin BN akan tampilkan calon yang terbaik bagi mempertahankan DUN Merlimau yang tentunya akan mendapat kemenangan besar juga,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan Jentera Penerangan BN bagi PRK DUN Merlimau di Dewan Masyarakat Ayer Merbau, Merlimau.
Dalam masa yang sama Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu jentera penerangan BN akan digerakkan di setiap peringkat untuk turun padang dan menjelaskan kepada rakyat berhubung isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.
“Jentera BN telah bersedia bagi menggempur anggota Pas yang dikhabarkan sudah bergerak dari rumah ke rumah untuk mendapatkan fotostat kad pengenalan pengundi,” katanya.
Beliau turut membidas tindakan Pas yang sering menggunakan tipu helah bagi mendapatkan sokongan daripada masyarakat khususnya semasa PRK termasuklah yang terbaru di DUN Tenang.
“Calon Pas di Tenang iaitu Normala adalah simbol perangai orang Pas termasuklah suaminya yang sanggup menipu sehinggakan cuti sakit pun menggunakan MC tipu.
“Pas dan pakatan pembangkang sudah banyak berbohong dan tentunya mereka akan datang ke sini dengan janji 100 sedangkan janji semasa Pilihan Raya Umum 2008 pun tidak ditunaikan. Itulah bukti mereka pembohong,” katanya.
Selar beliau lagi, Pas juga tidak berpegang pada pendirian kerana selalu berubah-ubah.
“Dulu Pas cakap lain tapi hari ini lain, jadi kita biarkan Nik Aziz dalam dunia fatwa berubah-ubahnya yang sememangnya buat orang pening kepala.” – MediaUMNO.