Politik negara patut ambil kira pemikiran rakyat

Zaman kerajaan tahu segalanya tidak lagi relevan dengan landskap politik semasa

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 mencetuskan pelbagai analisis bermakna dan justifikasi yang memberi landasan baru kepada corak politik Barisan Nasional (BN). Kejayaan BN mengekalkan pemerintahan dengan majoriti dua pertiga adalah sesuatu yang menjadi jangkaan bagi kebanyakan penganalisis politik dan rakyat.

Walaupun ada kejutan dari segi tahap penerimaan undi kaum Cina, kemenangan BN boleh diterjemahkan sebagai satu ujian besar untuk meninjau sejauh mana transformasi politik yang digalas oleh kepemimpinan BN berkesan melalui pendekatan politik pembangunan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yakin bahawa beberapa faktor kejayaan BN di Sarawak dikenal pasti, antaranya kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, penolakan pengaruh ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan faktor pembangunan yang dijana oleh BN.

Pilihan raya Sarawak pada 16 April lalu sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia berlangsung di sebuah negeri yang terpisah daripada geografi dengan Semenanjung. ‘Keterasingan’ ini hanya dirapatkan melalui hubungan politik yang mana BN sudah memerintah sejak sekian lama di Sarawak melalui pentadbiran Abdul Taib.

Keduanya, dari segi nilai, budaya, pemikiran dan tahap pembabitan rakyat Sarawak dalam politik khususnya masyarakat di kawasan pedalaman. Boleh dikatakan tahap penyertaan politik rakyat di kepulauan Borneo seperti Sarawak, malah Sabah belum menyamai tahap pembabitan politik seperti di Semenanjung. Tidak seperti masyarakat Semenanjung, pembabitan masyarakat Semenanjung selama ini terhadap politik dilihat agak ketara dan mereka begitu terdedah dengan politik nasional yang mengalami evolusi melalui insiden semasa politik nasional.

Isu yang berlegar dalam pemikiran rakyat hari ini lebih terarah kepada isu ketelusan dan hak asasi berbanding soal pembangunan yang kurang relevan kepada kebanyakan pengundi di Semenanjung. Di Sarawak, pembangunan adalah satu-satunya pilihan yang perlu diutamakan. Daripada keistimewaan yang ada di Sarawak ini, kita seakan sudah boleh meramal keupayaan BN mengekalkan status sebagai parti pemerintah untuk rakyat Sarawak. Dengan keistimewaan yang dimaksudkan itu juga kita dapat meneka apa dan siapa sepatutnya pilihan tepat bagi rakyat Sarawak seperti direalisasikan pada 16 April lalu.
Sarawak mempunyai keistimewaannya yang tersendiri walaupun politik negara melalui pelbagai fasa pembangunan dan pergolakan. Kita optimis untuk menyatakan bahawa Sarawak akan terus mampu membantu mengekalkan kestabilan politik nasional tetapi tentulah amat bergantung kepada sejauh mana keupayaannya mengelak daripada diresapi aliran politik baru yang tercipta daripada politik nasional.

Melihat kepada senario politik negara, seperti ada dua aliran politik iaitu aliran ‘politik untuk pembangunan’ dan ‘politik untuk politik’. ‘Politik untuk politik’ mula mempengaruhi trend pengundian rakyat Malaysia selepas ada kerjasama politik antara parti pembangkang yang dilihat sebagai alternatif kepada sebahagian tuntutan rakyat di negara ini. Strategi ini juga turut dilihat sebagai satu langkah mengekalkan sifat relevan dan jangka hayat institusi pembangkang di Malaysia.

Jika kita menyingkap perjalanan politik negara dalam tempoh 1999 hingga 2008 didapati dalam tempoh ini, pengkaji politik tempatan seakan-akan cenderung merumuskan bahawa sudah ada perubahan besar dalam politik negara terutama keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang memberi interpretasi signifikan terhadap perubahan politik di negara kita.

PRU-12 membuktikan bahawa resipi politik biasa seperti politik kaum, dominasi Melayu terhadap politik nasionalisme, ketuanan Melayu, politik agama dan sebagainya tidak lagi mampu mengekalkan status quo parti pemerintah. Malah, sejak kebelakangan ini, tanpa diduga implikasi daripada pemecahan tradisi pengekalan status quo itu membawa kepada amalan politik yang kurang profesional seperti berleluasanya amalan rasuah, penyebaran fitnah yang tidak terkawal melalui media massa, pencemaran institusi politik yang melanggari norma formal sesuatu institusi, pencemaran nilai budaya kaum dan agama serta pelbagai lagi senario politik yang berlaku di Semenanjung.

Politik nasional yang berlaku di Semenanjung lebih terarah kepada isu baru seiring dengan nada politik masyarakat pada peringkat global seperti kesaksamaan kaum, hak asasi, keadilan, malah lebih parah lagi, sudah ada tanda untuk mengheret agama dan budaya dalam ruang fahaman pluralisme.

Politik untuk politik yang menjadi falsafah parti pembangkang terus mencorakkan lagi landskap dan pemikiran politik di Malaysia. Apabila isu seperti kesaksamaan kaum, hak asasi, keadilan, ekonomi terbuka, negara kebajikan dan pluralise dicanang dalam bentuk pemujukan politik, maka rakyat dengan cepat menganggap ia satu pembaharuan positif dan perlu dipilih daripada penganjurnya.

Sebaliknya pula, bagi parti pemerintah, pengabaian terhadap isu global yang semakin meresapi dan membentuk gelombang pemikiran rakyat menjadi faktor kepada runtuhnya ideologi tradisi yang dipertahankan selama ini. Sebab itu, jika diperhatikan asas transformasi politik BN, kerajaan pada 2009 diterajui pentadbiran Najib sedar bahawa zaman di mana kerajaan tahu segala-galanya tidak lagi relevan dengan landskap politik semasa. Untuk penyesuaian, Najib kini sedang memastikan politik negara perlu diletakkan dalam satu garisan yang hubungannya mesti bersifat anjal dengan pola pemikiran politik rakyat.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 8:17 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Politik negara patut ambil kira pemikiran rakyat

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]