Sambut baik bahan api tak naik

Keputusan bukti kerajaan lebih mengutamakan kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR: Parti politik, termasuk pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) selepas mengambil kira kepentingan dan beban yang terpaksa ditanggung rakyat kesan daripada kenaikan harga bahan api itu.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan lebih mengutamakan kebajikan rakyat.
“Kita menyambut baik keputusan Kabinet kerana bahan api adalah antara keperluan rakyat..., kita perlu memahami isu kenaikan harga bahan berkenaan kadang-kala berlaku disebabkan konflik di peringkat antarabangsa.

“Ia (kenaikan) adalah di luar kawalan kita, tetapi kerajaan sentiasa memikirkan langkah terbaik dari segi ekonomi bertujuan untuk menjamin kepentingan rakyat,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam Twitternya berkata, pergerakan itu akan terus menyuarakan pandangan rakyat dalam isu membabitkan kepentingan umum.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar suara rakyat dalam isu harga bahan api,” katanya.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan itu menggambarkan sikap kerajaan yang sentiasa mendengar keluhan dan memahami tekanan hidup kesan daripada peningkatan kos sara diri yang semakin meningkat.

Katanya, walaupun memahami kesengsaraan ditanggung kerajaan berikutan peningkatan subsidi, sebagai kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kebajikan rakyat dan implikasi kenaikan harga bahan api perlu diberi perhatian.

Ketua Puteri UMNO yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana mengekalkan harga RON95 dan yakin keputusan itu melegakan rakyat.

“Ia semestinya sejajar dengan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah. Keputusan juga diharap dapat terus mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyambut baik keputusan itu, namun ia memberi gambaran jelas bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 semakin hampir.

“Kita akui ia agak mengejutkan sebab sebelum ini kerajaan mendakwa terpaksa menanggung kos subsidi tinggi dan rakyat diminta bersedia dengan sebarang kenaikan seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, berkata langkah kerajaan mengekalkan harga bahan api disifatkan sebagai langkah yang boleh diterima semua pihak bagi mengelak peningkatan inflasi.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu telus menyatakan jumlah subsidi yang ditanggung untuk memastikan harga petrol, diesel dan gas LPG terus kekal.

“Kerajaan perlu berterusan memastikan harga barangan termasuk petrol tidak meningkat kerana pengguna terpaksa menanggung bebanan,” katanya.

Posted by YB Datuk Hj. Ahmad bin Hj. Maslan on 9:46 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0

0 comments for Sambut baik bahan api tak naik

Leave comment

Primary top col ads

Ahmad Maslan on Facebook

FLICKR PHOTO STREAM

Secondary content column1

sidebarads

1


2011 Ahmad Maslan Blog. Hakcipta Terpelihara.
[ Login ]